Utusan Borneo (Sabah)

Dua lelaki didenda akibat ugutan jenayah terhadap wartawan penyiaran

-

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas mengaku bersalah membuat ugutan jenayah melalui laman sosial Facebook terhadap seorang wartawan penyiaran TV3 bulan lepas.

Majistret Nordiana Abd Aziz memerintah­kan Mohd Ariff Fahmi Ab Ghani, 33, membayar denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya jika gagal membayar denda dikenakan manakala Muhammad Muzammer Zamri, 30, didenda RM4,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarka­n pertuduhan yang dibaca berasingan, kedua-dua mereka didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk mencederak­an Mohd Ishak Abdillah Ngah, 38, dengan niat menimbulka­n rasa takut, dalam laman sosial Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original) pada 1 Januari lepas, antara jam 10 pagi hingga 3.01 petang.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, keduadua tertuduh melakukan kesalahan itu ekoran satu video liputan berita yang dibuat oleh mangsa mengenai isu ketiadaan elektrik dan air di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu yang dimuat naik dalam laman Facebook Buletin TV3.

Video liputan berita itu telah menjadi tular dan dikongsi di laman Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original).

Pertuduhan dikendalik­an oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia