Utusan Borneo (Sabah)

MBK buat julung kali menyertai MSSD Tawau kali ke-53 di Kompleks Sukan Tawau

- Oleh Hamzah Sanudin

TAWAU: Murid Berkeperlu­an Khas (MBK) buat julung kalinya mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Tawau (MSSDT) kali ke53 di Kompleks Sukan Tawau yang diadakan selama lima hari, di sini baru-baru ini.

Sebanyak lebih 20 buah sekolah menghantar peserta dalam pertanding­an itu dan penyertaan itu tidak terhad kepada sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), malah terbuka kepada murid-murid yang memiliki kad OKU.

Penolong Pegawai Pendidikan Tawau (Unit Pendidikan Khas) Suzamreh Salleh berkata, buat kali pertamanya kejohanan MSSDT kali ini disertai oleh peserta MBK dari sekolah-sekolah yang terlibat.

“Sebagai permulaann­ya atlet MBK mengikuti tiga acara termasuk lari 100 meter, 200 meter dan lompat jauh untuk mencari atletatlet dalam kalangan MBK mewakili daerah Tawau ke pertanding­an peringkat negeri.

“Sasaran kita untuk merangka satu pasukan atlet yang terlatih dibawah pengurusan jurulatih-jurulatih yang berpengala­man dan mengharapk­an atlet-atlet yang terpilih dapat menyumbang­kan pingat pada peringkat negeri nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, tiga acara itu dibahagika­n kepada beberapa kategori iaitu Lelaki 18 tahun ke bawah (L18), Perempuan 18 tahun ke bawah (P18), Lelaki 15 tahun ke bawah (L15), Perempuan 15 tahun ke bawah (P15), Lelaki 12 tahun ke bawah (L12) dan Perempuan 12 tahun ke bawah (P12).

Dalam kejohanan itu, juara untuk kategori sekolah menengah dimenangi SMK Balung dengan pencapaian masing-masing tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Manakala tempat kedua disandang oleh PPKI SMK Umas-Umas dengan pungutan pingat tiga emas, tiga perak dan satu gangsa seterusnya tempat ketiga dimenangi PPKI SMK Kuhara yang memiliki tiga emas dan tiga perak.

Sementara itu, untuk sekolah rendah pula, PPKI SK Merotai Besar muncul juara dengan kutipan pingat sebanyak tiga emas dan satu perak, diikuti PPKI SK Tanjung Batu Keramat dua emas, dua perak dan satu gangsa manakala tempat ketiga dimenangi SK Umas-Umas berjaya mengutip satu emas.

Suzamreh berkata, semua atlet yang menjadi juara akan mewakili daerah Tawau ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah (MSSS) di Lahad Datu pada bulan hadapan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia