Utusan Borneo (Sabah)

Pembantu farmasi bakal bina hab pengeluara­n anak benih udang kara

-

PORT DICKSON: Siapa sangka dengan memanfaatk­an kawasan di sebelah rumahnya untuk menternak kira-kira 40 ekor anak benih udang kara atau lobster, kini ternakan milik Muhammad Hazizi Ghazali itu bakal menjadi hab ternakan anak benih udang kara air tawar di Port Dickson.

Pembantu farmasi berusia 25 tahun itu berkata beliau mula menternak udang kara di dalam dua tangki air di sebelah rumahnya tanpa sebarang ilmu pada 2018 dan belajar sendiri selama enam bulan bagaimana proses untuk menternak, mendapatka­n kadar pH air yang sesuai sehinggala­h udang kara berjaya bertelur dan hasilkan anak benih.

“Daripada 40 ekor anak benih itu, lebih separuh daripadany­a mati, selesai fasa eksperimen, pada bulan Oktober saya buat keputusan untuk jalankan perniagaan anak benih udang kara bersama tiga lagi kawan yang juga bekas pelajar Diploma Farmasi dengan bermodalka­n RM10,000.

“Kami bina tempat ternakan anak benih dalam akuarium, kolam simen dan kolam kanvas bersebelah­an rumah saya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini barubaru ini.

Muhammad Hazizi berkata permintaan tinggi terhadap anak benih udang kara jenis Red Claw itu sehingga terdapat tempahan yang masih tertunggak, mendorongn­ya untuk melangkah setangga lagi dalam perniagaan­nya itu.

“Kalau saya siarkan dalam Facebook memang banyak tempahan masuk... tempat ternakan yang ada sekarang hanya boleh memuatkan kira-kira 2,000 hingga 3,000 anak benih bersaiz satu ke tiga inci dan setiap satu inci tumbesaran mengambil masa sebulan,” katanya.

Justeru, bagi memenuhi permintaan tinggi termasuk pelanggan dari Pahang dan Melaka, beliau merancang untuk membina hab ternakan anak benih udang kara di atas tanah bersebelah­an rumahnya yang akan diusahakan bersama Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson (PNKPD), sekali gus dapat meningkatk­an lagi pendapatan­nya.

“Hab ternakan anak benih ini nanti mampu mengeluark­an 10,000 anak benih bersaiz satu hingga tiga inci dan 6,000 hingga 8,000 ekor udang kara dewasa dalam tempoh sebulan dengan kos pembinaan dianggarka­n RM100,000,” katanya.

Muhammad Hazizi berkata seekor udang kara bersaiz tiga inci boleh menghasilk­an 150 ke 200 ekor anak benih tetapi hanya 80 peratus yang akan hidup bergantung kepada penjagaan termasuk pemakanan dan pH air.

“Selain daripada perlu pastikan air tidak terlalu kotor, pH yang sesuai, diet dan pemakanan terjaga, antara cabaran menternak udang ini adalah ia terdedah kepada haiwan di sekeliling seperti burung raja udang, biawak, katak dan memerang kerana ternakan ini berkonsep terbuka.

“Udang kara juga boleh makan kawannya sendiri khususnya ketika proses bersalin kulit, ini memang kena pantau betul-betul, kalau tidak lebih banyak yang akan mati,” katanya.

Mengenai harga jualan anak benih udang kara, beliau berkata ia bergantung kepada saiz bermula RM1 hingga RM5 seekor dan biasanya pelanggan akan membeli 300 hingga 600 ekor anak benih.

“Kita juga buat COD (bayar ketika terima) tetapi tempahan minimum adalah 200 hingga 300 anak benih dan ada caj penghantar­an. Untuk mereka yang baru berjinak dalam ternakan udang kara ini saya sarankan mereka ambil pakej iaitu set tempat ternakan kolam kanvas dengan anak benih bersama lima ekor induk,” katanya.

Muhammad Hazizi berkata buat masa ini, beliau turut bekerjasam­a dengan empat lagi rakannya dikenali sebagai ‘PD Lobster Group’ untuk menternak anak benih udang kara sehingga dewasa untuk dipasarkan ke restoran.

“Kita rancang untuk mula bulan April ini, kumpulan ini akan ternak anak benih secara komersial di lokasi masing-masing dan anak benihnya saya bekalkan. Mereka akan bela, apabila dewasa diserahkan semula kepada saya untuk saya pasarkan ke restoran-restoran di daerah Port Dickson,” katanya.

Selain itu, Muhammad Hazizi berkata beliau juga merancang untuk membuat tempat ternakan baharu jenis kolam tanah di Pasir Panjang, Port Dickson hujung tahun ini yang akan mengeluark­an udang kara dewasa seberat 50 hingga 100 kilogram sebulan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia