Utusan Borneo (Sabah)

45 peratus katil diguna pesakit COVID-19

Membabitka­n enam hospital pakar seluruh Sabah

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Sekitar 45 peratus daripada 613 katil yang disediakan untuk pesakit COVID-19 di enam hospital berpakar seluruh Sabah digunakan setakat 31 Mac 2020.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, terdapat dua pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Secara keseluruha­n katanya, seramai 12 pesakit sembuh di negeri ini dan dibenarkan discaj dari hospital.

“Sebanyak 25 pusat kuarantin dibuka dengan penambahan dua lokasi baharu iaitu Kokilli Inn Hotel di Sipitang dan Oyo Hotel Lucky Eleven di Kota Kinabalu.

“Seramai 800 orang ditempatka­n di pusat kuarantin dan 28 orang dibenarkan pulang hari ini (31 Mac),” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, sehingga 31 Mac 2020, terdapat penambahan lima kes baharu COVID-19 iaitu tiga kes dari

Tawau dan masing-masing satu kes dari Sandakan dan Lahad Datu.

Menurutnya, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruha­n kes bagi Sabah sebanyak 206 kes.

Dalam pada itu jelasnya, seramai 7,549 bilangan terkumpul dalam pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatia­n kuarantin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 sehingga 31 Mac 2020.

“Bilangan kontak rapat yang masih dalam perintah pengawasan dan pemerhatia­n oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah seramai 6,434 dan bilangan kontak rapat yang tamat tempoh kuarantin 14 hari adalah seramai 1,115 orang.

“Unit Inspektora­t dan Perundanga­n (UIP) JKNS turut menjalanka­n Operasi Bersepadu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan RELA dengan kekuatan anggota 122 orang di seluruh Sabah.

“Sebanyak 395 premis diperiksa dan hasil operasi, sebanyak enam premis kedai di Sandakan diarahkan tutup di bawah Seksyen 18(1)(f) APPPB 1988,” katanya.

Pihaknya turut menyampaik­an penghargaa­n kepada Sabah Electricit­y Sdn Bhd (SESB) atas pemberian sumbangan bernilai RM1 juta untuk pembelian keperluan peralatan perubatan.

 ??  ??
 ??  ?? CHRISTINA
CHRISTINA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia