Utusan Borneo (Sabah)

3,000 keluarga di DUN Elopura terima bantuan bekalan makanan

- Oleh Noorasvill­a Muhamma

SANDAKAN: Lebih kurang 3,000 keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura menerima manfaat melalui bantuan bekalan makanan yang disalurkan kerajaan negeri ekoran penularan COVID-19 dan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil Rakyatnya Calvin Chong Ket Kiun berkata, pihaknya sedaya upaya berusaha untuk membantu seberapa banyak keluarga menerusi peruntukan RM100,000 yang diberikan kepada setiap DUN.

Menurut beliau, kata sepakat telah dicapai melalui perbincang­an bersama semua pihak dan ADUN iaitu agihan bantuan akan dibuat berdasarka­n situasi kawasan

DUN masing-masing.

Ini kerana katanya, setiap kawasan DUN mempunyai bilangan penduduk dan golongan miskin yang berbezabez­a.

Sehubungan itu, beliau berkata untuk memastikan bekalan bantuan dapat diagihkan dalam skala yang lebih besar, kuantiti barangan akan dikurangka­n.

“Cadangan asal adalah setiap keluarga diberi bantuan bekalan makanan bernilai RM100. Tetapi dengan jumlah itu, kita hanya mampu membantu 1,000 keluarga sahaja sedangkan dalam DUN Elopura ada lebih daripada 35 taman perumahan dan kampung.

“Kalau diikutkan, hanya 30 keluarga sahaja dari setiap taman perumahan atau kampung yang dapat diberi bantuan.

“Untuk menjadikan keadaan lebih adil, jumlah barangan yang diterima akan dikurangka­n agar jumlah penerima bantuan akan bertambah. Sebagai contoh, setiap keluarga akan menerima beras 10 kilogram dan sekotak telur yang keseluruha­nnya bernilai RM37.50,” katanya dalam satu kenyataan di Sandakan.

Calvin berkata beliau telah menggunaka­n duit sendiri dengan mendermaka­n gaji sebulan untuk menampung kekurangan peruntukan.

Bagaimanap­un, perkara itu tidak diuar-uarkan kerana pihaknya sedar ramai yang memohon bantuan dan menjadi tugas bagi beliau untuk sedaya-upaya membantu.

“Seharusnya dalam masa krisis seperti ini, semua orang patut menghargai usaha kerajaan negeri melalui UPPM terutamany­a wakil-wakil rakyat yang telah menggunaka­n wang sendiri untuk meningkatk­an usaha dalam membantu lebih banyak keluarga yang memerlukan daripada cuba mempolitik­kan niat baik untuk membantu rakyat.

“Bagi keluarga yang merasakan mereka patut mendapat lebih daripada apa yang telah diterima, saya mohon mereka untuk bersabar kerana kami sedang berusaha dengan wang yang terhad.

“Perlu diingat bahawa semua orang sedang menderita dan lebih ramai lagi yang memerlukan bantuan daripada kami. Saya mohon agar semua bersabar dan teruskan bersama kami dalam melalui masa sukar ini,” jelasnya.

 ??  ?? ADIL: Setiap keluarga menerima bantuan yang sama agar lebih banyak keluarga dapat dibantu.
ADIL: Setiap keluarga menerima bantuan yang sama agar lebih banyak keluarga dapat dibantu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia