Utusan Borneo (Sabah)

Kaji semula lokasi pusat kuarantin COVID-19 di Batang Ai, Engkilili

- JUGAH

LUBOK ANTU: Penduduk Engkilili dan Batang Ai kini resah dan bimbang setelah mengetahui bahawa Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili dicadangka­n sebagai lokasi pusat kuarantin COVID-19.

Keresahan itu wajar kerana ramai penduduk merupakan warga tua yang berisiko tinggi dijangkiti virus berkenaan, kata Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang dalam kenyataann­ya di sini, semalam.

“Masyarakat sekitar lokasi memang rapat dan sebelum berlakunya krisis COVID19, kawasan sekitar sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti serta perayaan dan pelbagai mesyuarat di dewan orang ramai.

“Keadaan ini seolah-olah menyalahka­n penduduk kawasan tersebut, mereka dihukum dengan tanpa ada perbincang­an dan tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Kita amat menitikber­atkan soal kesihatan, kesejahter­aan dan keselamata­n penduduk di kawasan sekitar yang terlibat dan implikasi psikologi kesan daripada pusat kuarantin tersebut amatlah besar,” katanya.

Penempatan 20 orang di bawah penyiasata­n (PUI) dan orang di bawah pemerhatia­n (PUS) di Pusat

Khidmat Masyarakat Ahli ADUN Batang Ai telah mendatangk­an kegusaran masyarakat rumah panjang sekitar memandangk­an lokasi tersebut adalah laluan utama ke hulu sungai dan kawasan aktiviti penternaka­n ikan sangkar.

Jugah berkata, seharusnya tindakan menangani pandemik COVID-19 wajar dibawa ke meja rundingan dengan ketua masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen untuk konsensi bersama supaya keputusan terbaik meliputi semua pihak yang terlibat dapat dicapai melalui perbincang­an.

“Kita harus mendengar suara daripada ketua masyarakat yang mewakili suara rakyat bawahan supaya kita tahu, sedar betapa besarnya keputusan yang dibuat dan keputusan ini juga melibatkan soal nyawa manusia.

“Saya selaku Ahli Parlimen

Lubok Antu menggesa keputusan meletakkan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili sebagai lokasi pusat kuarantin wajar ditarik semula.

“Ini setelah melihat dari sudut kelengkapa­n perubatan, jumlah pekerja yang terlibat, kepakaran yang bakal memantau pusat kuarantin tersebut amatlah menyedihka­n dan sukar diterima ketika kita bercakap soal hidup atau mati,” tambahnya.

“Oleh itu, bagi saya yang amat menitikber­atkan keselamata­n dan kesejahter­aan rakyat Lubok Antu, saya membantah sekeras-kerasnya Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili dicadangka­n sebagai lokasi bagi pusat kuarantin,” ujar Jugah.

Beliau amat berharap agar keputusan meletakan pusat kuarantin di lokasi tersebut dapat ditarik semula demi mengekalka­n tahap kesihatan dan kesejahter­aan rakyat Lubok Antu yang kini masih bebas daripada sebarang jangkitan COVID-19.

“Setakat ini kita amat menghargai dan berterima kasih terhadap kerjasama daripada semua pihak yang telah cemerlang patuh kepada peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dijalankan dari 18 Mac hingga sekarang,” ujarnya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia