Syarikat perlu maklum pelanggan perubahan atau pembatalan penerbangan: Kim Shin
MIRI: Syarikat penerbangan perlu memberitahu terlebih dahulu kepada penumpang mereka yang telah membeli tiket untuk penerbangan yang disahkan sekiranya terdapat perubahan dalam jadual penerbangan atau pembatalan penerbangan, jelas Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.
Katanya, kementeriannya menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai beberapa penerbangan yang telah disahkan namun dibatalkan sekali gus menimbulkan masalah.
“Mereka (penumpang) yang terjejas akibat penerbangan dibatalkan selepas disahkan, mahu syarikat penerbangan berkaitan membayar balik kepada penumpang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memberi kesan terhadap mereka terutama dari segi kewangan,” ujarnya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut menasihati semua penumpang agar memantau dengan teliti jadual penerbangan masing-masing di laman sesawang syarikat penerbangan bagi mengelakkan kekeliruan atau salah faham.
“Kerjasama daripada kedua-dua pihak amat diperlukan pada masa ini lebih-lebih lagi dengan keadaan negara yang dilanda pandemik COVID-19.
“Malah, kerajaan turut menguatkuasakan PKP untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19.
“Dalam hal ini juga, adalah penting untuk kesemua rakyat mematuhi setiap arahan PKP dan tetap berada di rumah masingmasing,” jelasnya.
Tambah Lee, bagi mereka yang memerlukan perjalanan antara bahagian atau daerah, beliau menegaskan Jawatankuasa Bencana Negeri telah membuat arahan perjalanan terkini di mana rakyat perlu mendapatkan kebenaran daripada pegawai residen dan daerah di kawasan masing-masing.