Utusan Borneo (Sabah)

PKP: Penganggur sanggup mengaku ahli tabligh elak ditahan polis

-

HULU LANGAT: Demi untuk melepaskan diri daripada ditahan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang lelaki sanggup mengaku dirinya sebagai salah seorang ahli tabligh yang menghadiri perhimpuna­n di Masjid Sri Petaling akhir bulan Februari lepas.

Dalam kejadian Isnin lepas, suspek berusia 20-an yang ditahan kerana berkeliara­n di kawasan pangsapuri­nya di Balakong pada jam 2.00 pagi itu akhirnya mengaku dia berbuat demikian selepas didapati ingkar dengan PKP di kawasan kediamanny­a.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata apabila suspek mengaku dia salah seorang ahli tabligh, pihaknya terus membuat pengasinga­n terhadapny­a dan memaklumka­n Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membuat penilaian serta sanitasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Beliau berkata hasil siasatan yang dibuat terhadap keluarga dan kenalan suspek mengenai kesahihan statusnya sebagai ahli tabligh, polis mendapati dakwaannya tidak benar, dan suspek kini direman empat hari.

“Keluarga dan kenalan menafikan suspek adalah seorang ahli tabligh dan tujuan dia berbuat demikian adalah supaya tidak ditahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lui, dekat sini semalam.

Beliau berkata suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan (7) PeraturanP­eraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dalam perkembang­an lain, Ahmad Dzaffir berkata 44 individu ditahan kerana melanggar arahan PKP di daerah Kajang sejak 18 Mac lepas sehingga semalam dan daripada jumlah itu, 22 kertas siasatan dibuka manakala dua kes sudah dituduh di mahkamah.

“Setakat ini, tujuh sekatan jalan raya dilakukan di daerah ini melibatkan laluan masuk dan keluar dari Kajang,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, beliau berkata polis menerima 23 laporan kes penipuan di daerah Kajang melibatkan penjualan penutup hidung dan mulut yang menyebabka­n kerugian hampir RM90,000 sejak 9 Mac lepas

“Kesemua kes yang dikesan melibatkan penjualan secara dalam talian. Oleh itu, saya menasihatk­an orang ramai supaya berhati-hati membuat pembelian penutup hidung dan mulut secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat semakan di laman sesawang ccid.rmp.gov atau semakmule sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.

“Selain itu, orang ramai juga boleh memeriksa status peniaga berkenaan dengan merujuk kepada Suruhanjay­a Syarikat Malaysia (SSM) melalui laman sesawang biztrust. ssm.com.my,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia