Godin kongsi pengalaman berdepan COVID-19 tempat yang terkesan teruk di dunia
MILAN, Itali: Pemain pertahanan kelab Inter Milan, Diego Godin, kembali ke tanah airnya, Uruguay selepas mengharungi dua minggu kuarantin di Itali dan menceritakan secara terperinci pengalaman beliau berdepan dengan pandemik koronavirus (COVID-19) di dalam salah satu tempat yang terkesan teruk di dunia.
“Kami berada dalam risiko sehingga ke saat akhir,” kata Godin. “Kami ditarik ke arah berlawanan untuk melihat jika kami dapat terus bermain sehingga situasi tidak lagi dapat dipertahankan. Sistem kesihatan runtuh. Tiada lagi katil dalam unit rawatan rapi (ICU) untuk merawat begitu ramai orang yang berada dalam keadaan kritikal. Orang ramai dengan penyakit lain tidak dapat dirawat lagi. Tiada tempat untuk mereka atau tidak cukup kakitangan perubatan.”
Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, menggantung semua aktiviti sukan di negara itu pada 9 Mac kerana pandemik COVID-19 ini, pada hari selepas Inter Milan menentang Juventus. Lima hari selepas perlawanan itu, pemain pertahanan Juventus, Daniele Rugani, menjadi pemain pertama dalam Serie A yang diuji positif untuk COVID19.
“Kami terus berlatih dan bermain untuk beberapa minggu tanpa penonton sehingga ujian positif pemain di Juventus, jadi kami dan pemain Juventus dikuarantin,” kata Godin.
“Kerana itulah musim digantung. Apa yang pasti, ada pemain lain dalam perlawanan itu yang mungkin sudah dijangkiti dan kerana itu kenapa kami dikuarantin.”
Godin, 34, juga menyentuh tentang suasana di peringkat awal penularan wabak ini di Itali, di mana angka kematiannya melepasi paras 12,000 orang Selasa lepas – jumlah tertinggi di dunia.
“Ia bukan perkara besar di peringkat awal. Semua orang fikir ia adalah masalah di China dan ia tidak akan sampai ke negara lain,” kata Godin. “Langkah kawalan dilakukan dengan sangat perlahan. Kami diberitahu untuk berwaspada tetapi di peringkat kerajaan, tiada tindakan drastik diambil yang mungkin akan mengelak apa yang telah berlaku sekarang.”
Dua pelancong China yang mengunjungi Rom adalah ujian positif pertama COVID-19 di Itali, yang dilaporkan pada 31 Januari. Satu lagi kes disahkan seminggu kemudian, dari seorang lelaki tempatan yang berkunjung ke bandar raya Wuhan di China, di mana virus itu kali pertama dikenal pasti.