Memulihara habitat semula jadi dan hidupan sungai menerusi Sistem Tagang
EKOSISTEM semula jadi dan habitat asal di sesebuah penempatan terutama sungai perlu dipelihara sepenuhnya bagi memastikan spesies ikan menghuni sungai terbabit terus kekal terjaga sebagai sumber makanan sekali gus membawa kesan baik kepada alam sekitar dan kehidupan penduduk mendiami kawasan itu.
Keadaan itu antara diusahakan oleh Jabatan Pertanian melalui pelaksanaan Projek Sistem Tagang dengan menyedia serta membekalkan benih-benih ikan kepada penduduk untuk dilepaskan ke habitat sungai berdekatan kawasan penempatan mereka.
Langkah itu dilaksanakan di Sungai Sekabai Rumah Antau, Bukit Tembawai Jipun, Jalan Hulu Sebauh oleh Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu dengan pelepasan anak-anak ikan ke dalam sungai terbabit secara lancar dan jayanya.
Mengupas lanjut projek itu, Tuai Rumah Antau Nabau, 51, berkata projek di bawah Jabatan Pertanian Bintulu amat baik bukan sahaja dapat mengekalkan beberapa spesies ikan tidak pupus malah memulihara serta menjaga ekosistem sungai.
“Ia juga meningkatkan hasil dan sumber ikan sungai diperlukan oleh pendudukpenduduk terbabit,” katanya kepada Utusan Borneo mengenai projek dilaksanakan tersebut.
Projek itu turut disifatkan amat membantu penduduk untuk mengekalkan sumber makanan daripada hidupan sungai secara berterusan dalam tempoh jangka masa panjang.
Menurutnya, sebanyak 10,000 ekor anak ikan Lampam Jawa dilepaskan di Sungai Sekabai itu sebagai satu antara projek julung kalinya diadakan di kawasan tersebut.
“Harapan saya melalui projek ini ialah memastikan sungai-sungai kita sentiasa terjaga dan terpelihara serta tidak tercemar. Saya turut berharap projek ini berjaya dan memberi manfaat kepada penduduk setempat sekitar 200 orang,” ujarnya.
Senada dengan harapan itu, Penolong Pegawai Perikanan Kanan Kairulnieza Waynie berkata Projek Sistem Tagang Sungai Sekabai Rumah Antau itu merupakan projek baharu dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian di daerah Sebauh.
Katanya, projek bermula pada 2019 bagi kategori Projek Tagang Baharu melibatkan 28 ahli projek dengan bantuan permulaan sejumlah RM10,000 daripada Bahagian Perikanan Darat Jabatan Pertanian Sarawak diberikan kepada peserta. “Bantuan itu berbentuk input peralatan, papan tanda serta makanan ikan bagi peringkat awal manakala benihbenih ikan tempatan diberi secara percuma seperti Ikan Lampam Jawa, Tengadak dan beberapa spesies tempatan lain.
“Ini bertujuan menambah stok ikan semula jadi di sungai itu agar dapat dijaga oleh ahli-ahli tagang secara bergilir-gilir,” katanya mengulas lanjut mengenai projek tersebut.
Kairul berkata, objektif utama Projek Tagang bukan sahaja menjaga kelestarian sungai malah membantu meningkatkan ekonomi ahli-ahli tagang terlibat melalui sistem ternakan ikan dalam sungai secara terkawal.
“Ikan-ikan dilepas dalam sungai diberi makan secara berkala untuk tumbesaran sehingga pada saiz tertentu boleh dituai mengikut Zon Tagang ditentukan pada lubuk-lubuk sungai terpilih,” jelasnya.
Menurutnya, hasil tuaian daripada Zon Tagang (Zon Hijau) dibahagikan secara sama rata kepada ahli-ahli bagi menambahkan pendapatan keluarga mereka.
Beliau berkata, projek Agriculture Facilitation Fund (AFF)diperuntukkan khusus setiap wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk dilaksanakan dengan setiap kawasan diperuntukkan RM1 juta.
“Projek AFF di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak merangkumi keseluruhan penduduk yang juga peserta di kawasan DUN Jepak dari Serupai hingga ke kawasan Silas/Segan di Jalan Hulu Sebauh,” katanya.
Jelasnya, Projek Infra Jalan Ladang pula pelaksanaan bantuannya menyusul secara berperingkat di DUN Jepak.
“Masyarakat petani, penternak dan nelayan berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Jepak Datuk Talib Zulpilip atas inisiatif merancakkan ekonomi berasaskan pertanian untuk penduduk di kawasannya terutama dalam keadaan terkesan dengan COVID19,” jelasnya.
Menurutnya, golongan nelayan pula program Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) sedang berjalan dan Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) juga dilaksanakan untuk membantu pembelian bot, enjin perahu, peralatan pukat nelayan darat dan laut berdaftar.