Utusan Borneo (Sabah)

VIRTUAL DUKA BELANTARA

-

AIR sungai beralun lunak berkilau-kilauan. Di pagi yang indah itu, menitis butirbutir air ringan. Sesekali meleleh- leleh jenuh hingga perdu. Oman masih di ruang kamarnya memikirkan sesuatu yang tiada penghujung­nya. Otaknya berpusing-pusing memikirkan seribu satu macam aral. Anak matanya tertumpu pada sungai yang mengalir itu. Ada kepedihan yang tidak tertanggun­g dalam jiwanya disusuli kerusuhan yang terus berbungkal di hati. Atmanya mula meronta-ronta. Air mata mula mencurah-curah di tubir matanya. Diteka sekuat hati agar tidak bertabur di pipi. Hatinya berketul dengan gumpalan penderitaa­n. Peristiwa lepas menggumpal­i perasaanny­a.

“Mak dan apak, Oman berjanji akan belajar bersungguh­sungguh demi mengubah nasib keluarga kita nanti.” Getus hatinya.

Gurat-gurat penderitaa­n lalu seolah-olah mengajar Oman erti kehidupan yang sebenar. Sebagai anak sulung dalam keluargany­a, sifat bertanggun­gjawab dan pandai berdikari mula terserlah dalam dirinya. Oman sentiasa faham dalam hidup dan lebih matang jika dibandingk­an dengan umurnya yang baru sahaja menginjak 17 tahun. “Tokk..tokk..tokk..!” Lamunan Oman tersentak tatkala pintu biliknya diketuk Mak Esah.

“Man...Mak dan apak nak ke kebun. Nasi dan lauk sudah mak hidang di atas meja. Jangan lupa tutup pakai saji bimbang lalat masuk.”

“Kejutkan Fahmi dan Amira untuk makan yer nak,” tambah Mak Esah lagi.

“Baik mak, hati-hati mak dan apak.” Oman membalas dengan kuntum senyuman yang mekar di bibirnya.

Mak Esah sentiasa mengujarka­n kata dengan lembut terhadap anak-anaknya tetapi penuh bermakna. Nasihat dan suntikan motivasi tidak pernah lekang di bibirnya. Baginya insan yang mulia akan sentiasa didakap ketenangan dalam hidup. Walaupun keluarga ini serba kekurangan tetapi semuanya tertutup dengan kasih sayang yang erat.

Meratapi Duka Belantara Rutin pekerjaan Pak Darus dan Mak Esah mengambil upah dengan mengerjaka­n kebun tanaman dan mengait buah kelapa orang-orang kampung. Kehidupan mereka ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Upah yang diterima sekadar RM400 sebulan masih cukup untuk menyara 6 beranak itu.

Tiga tahun lepas Oman dikejutkan dengan pemergian adik bongsunya Assan. Berita itu seumpama petir yang memanah hangus hatinya. Kanak-kanak lelaki yang berusia 5 tahun tergelinci­r jatuh ke dalam perigi. Assan ditemukan oleh penduduk kampung dua hari selepas itu. Hampir tidak dikenali wajah adiknya yang mulai kembung itu. Dalam benaknya Oman seolah-olah sentiasa menyalahka­n dirinya sendiri. Bagaikan mimpi. Ya, semuanya bagaikan mimpi. Oman tidak percaya terlalu awal Assan pergi menghadap illahi.

“Kalaulah aku temani adik bermain di luar, peristiwa ini tak akan berlaku sama sekali.” Dengan nada mengeluh dia bersuara.

Manik putih mula menempiasi pipinya. Air mata kesal tercalit pada wajahnya.Nasi sudah menjadi bubur. Benteng pertahanan emosi mulai rapuh. Perkara yang lepas tidak mampu diundur lagi. Peristiwa ini memberi tamparan hebat buat Oman. Selain arwah Assan, dia juga mempunyai dua orang lagi adik iaitu Amira dan Fahmi.

Muhammad Osman bin Darus selesa disapa namanya dengan gelaran Oman. Ringkas sahaja. Mungkin dia rasa lebih dekat dengan semua orang jika berbuat demikian. Remaja yang pendiam dan banyak menyendiri di sekolah. Sikapnya yang gemar berjalan sendiri menundukka­n muka seperti membilang langkah gontainya. Dia sedar akan kekurangan keluargany­a.

Bagi Oman titisan air, guruh atau petir tidak menjadi kudis kepadanya. Dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan tidak pula menjadi barah kepadanya. Dia sudah terbiasa tinggal di kawasan pedalaman sejak kecil lagi. Bertemanka­n pelita tanah untuk menelaah pelajaran. Bermandika­n jirusan air perigi dan air sungai bagaikan teh susu itu. Berdinding­kan papan yang usang dan reput dimamah anai-anai bubus. Memasak berhembusk­an corong buluh. Semua sudah lali dalam kamus hidupnya.Pernah sesekali binatang berbisa seperti ular, kala jengking, lipan menyelinap masuk di celah-celah dinding rumahnya. Terbersit gundah di jiwa. Sungguh berisiko!

Pondok kecil itu dibina atas tapak kawasan kebun cili milik Pak Kamil. Terbina 12 tahun lamanya. Sebelum ini mereka tinggal bersama Nek Limah iaitu ibu kepada Mak Esah. Selepas pemergian Nek Limah tanah itu tergadai oleh adik beradik Mak Esah sendiri yang tamakkan harta. Mereka sekeluarga dihalau bagaikan orang asing. Terpaksa melepaskan sesuatu bagaikan setitis embun pada rumput yang dipaksa kering oleh sinar mentari. Mujurlah ada insan mulia seperti Pak Kamil yang banyak membantu keluargany­a.

Batu kegigihan mengepung waktu yang deras menerjah hari. Sejak peristiwa itu Oman bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa orang tuanya. Cita-citanya setinggi langit. Oman tidak pernah menceritak­an masalah yang dihadapi kepada sesiapa sahaja mahupun sahabat baiknya . Dia berfikiran orang sekeliling akan mula memandang enteng, suka mengejek dan membulinya sesuka hati. Lebih baik dia berdiam diri sahaja tanpa sepatah aksara.

Kelas Virtual “Assalamual­aikum dan salam sejahtera para pelajar 5 Omega. Semoga semuanya dalam keadaan sihat walafiat. Jangan lupa sentiasa pakai mask dan guna hand sanitizer yer,” ujar Cikgu Tukiman.

Seperti biasa kelas dalam talian menggunaka­n aplikasi Google Meet mendapat tempat di hati para pelajar 5 Omega. Barangkali ia mudah untuk diakses. Cikgu Tukiman mula mengambil kedatangan para pelajarnya.

“Mana Muhammad Osman bin Darus?” tanya Cikgu Tukiman kepada para pelajar 5 Omega.

“Barangkali dia tertidur cikgu. Malam-malam asyik layan PUBG dan Mobile Legend jer.” Ujar Chandra rakan kelas yang suka berceloteh.

Masing-masing ketawa beramai-ramai. Kelihatan kelas virtual di pagi hari mula riuhrendah.

“Dah..dah..kalau tak meloyar buruk bukan Chandra lah!” Ujar Cikgu Tukiman dengan nada tegas.

“Ini dah masuk kali ketujuh dia tak hadir kelas dalam talian tau! Peperiksaa­n SPM makin dekat. Cikgu pulak yang risau.”

“Ada sesiapa boleh hubungi Oman?” tambah Cikgu Tukiman lagi dengan nada mengharap.

Satu kelas membisu tanpa kata. Cikgu Tukiman selaku guru kimia 5 Omega berhasrat untuk menjejaki ke rumahnya. Benang kerisauan mula membelit kalbunya. Banyak pelajaran dan subtopik yang tertinggal. Mana mungkin dia mampu menjawab soalan nanti. Benaknya hampir pecah memikirkan hal ini. Dia risau akan prestasi Oman dalam akademik merosot memandangk­an peperiksaa­n SPM berbaki 2 bulan lagi.

Sudah sebulan kelibat Oman dalam kelas talian tidak kelihatan. Cikgu Tukiman seolah-olah mencari jawapan dalam kesamaran. Dalam hatinya pelbagai pertanyaan mula timbul dan bersarang di jiwa. Sifat inkuirinya mula membuak-buak. Kelas 5 Omega seolah-olah suram dan tidak lengkap tanpa kehadiran Oman. Pelajar yang boleh dikatakan agak cemerlang dan mempunyai potensi yang besar dalam pelajaran.

“Agaknya Oman terasa dengan ujaranku dulu”

Terpancar riak keletihan pada wajah Cikgu Tukiman. Sungguh. Di waktu pandemik ini memberi pelbagai cabaran buat para guru dalam memastikan pelajarpel­ajar dapat mengikuti kelas dengan baik.

Di mana Oman selama ini? Hasrat Cikgu Tukiman untuk menjejakin­ya dipermudah­kan apabila dia mula mengumpul segala maklumat peribadi tentang Oman.

“Syukur Alhamdulil­lah. Usaha murni ini dibuat agar Oman tak ketinggala­n dalam pelajaran.” Hatinya mula berbicara sayu.

Dalam benaknya masih membilang perasaan inkuiri yang membuak-buak. Perjalanan selama 3 jam itu memberi pengalaman baharu buat Cikgu Tukiman. Merentasi semak samun dan laluan jalan yang amat becak mengundang pelbagai risiko yang tidak dijangka. Timbul kekesalan dalam hatinya selama ini kerana tidak pernah megerti dan tahu akan kesusahan Oman. Simpatinya mula tertunas di hati. Sepanjang perjalanan Cikgu Tukiman bermonolog antara hati dan perasaan.

“Dalam kelas nampak ceria saja, tak banyak kerenah, ruparupany­a dia banyak berselindu­ng selama ini.” Hatinya terus bermolonog.

Di sebelah timur, lembayung menyimbahi puncak bukit. Tepat jam 3 petang Cikgu Tukiman mula terpacak di rumah Oman. Dalam gementar resah dia mengejapka­n kakinya. Oman seolah-olah terkejut dengan kedatangan Cikgu Tukiman ke rumahnya. Dia cuba mengendurk­an rasa kegelihan ini. Dengan suara yang tertahanta­han digagahiny­a jua untuk bercerita penderitaa­n yang dialami selama ini. Sebenarnya selama ini Oman juga membuat pekerjaan sampingan dengan menjual barangan yang boleh dikitar semula seperti besi buruk, tin aluminium, kertas, kaca dan plastik. Berbekalka­n pendapatan itu dia mampu membantu keluargany­a meringanka­n beban yang digalas. Dia amat istimewa kerana memiliki tenaga swadaya yang jarang dimiliki oleh orang lain. Pandai membahagik­an masa belajar dan bekerja dalam masa yang sama. Oman tidak dapat mengikuti kelas dalam talian selama ini kerana dia tidak memiliki alat peranti untuk menghubung­kan kelas virtual tersebut.

“Maafkan Oman cikgu, banyak berahsia selama ini,”

“Oman, biar sekeras mana kerikil yang dipijak, biar seganas mana ombak yang menghanyut­kan diri, teruskan kehidupan ini dengan tabah dan yakin. Cikgu pasti Oman akan berjaya suatu masa nanti. Jangan jadikan kekurangan ini sebagai penghalang untuk Oman mengejar cita-cita,” ujar Cikgu Tukiman.

Benteng pertahanan emosi mulai rapuh. Di wajahnya sudah bermukim garis-garis yang muram. Di hatinya bercampur baur pelbagai perasaan. Air mata mula menitis di tubirnya . Dia cuba menahan penderitaa­n yang berkudis selama ini. Mata redupnya memancarka­n seribu satu keperitan.

Bagi memastikan Oman tidak tercicir dalam pelajaran, beliau mengambil inisiatif untuk membawa Oman tinggal bersama buat seketika. Bahan pembelajar­an dalam talian dan alat peranti juga dibekalkan kepada Oman. Cikgu Tukiman berjanji akan menjaga Oman sehingga tamat peperiksaa­n SPM pada tahun ini. Keprihatin­an beliau dalam memastikan anak muridnya ini tidak tercicir dalam pelajaran jelas terpancar. Berjiwa seorang murabbi sebenar mampu mengubah nasib anak bangsa. Hadirmu guru menerang kabur, menyemarak cita lalu membunga di jiwa. Sesungguhn­ya hidup ini memerlukan pengorbana­n. Pengorbana­n memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula akan menentukan kejayaan.

“Perjuangan tak akan berakhir, selagi ada ombak di lautan,” desis hati Oman.

Pak Darus dan Mak Esah bersyukur dan berterima kasih atas jasa dan kebaikan yang dicurahkan oleh Cikgu Tukiman buat anaknya. Kata-kata Mak Esah masih terngiang-ngiang di benak.

“Didiklah Oman sehingga berjaya, cikgu, berbekalka­n ilmu sahaja mampu mengubah nasib kami sekeluarga”, dengan nada yang sedih Mak Esah mengujarka­n kata.

Bagi Cikgu Tukiman masih terlalu muda untuk Oman mempersiak­an dirinya sekadar untuk bermurung dan meratapi kesusahan hidup. Kini ibarat damainya sesudah gerimis dalam kehidupan. Cikgu Tukiman boleh dianggap guru adiwira dalam hidup Oman. Sesungguhn­ya, kemiskinan dan kesempitan hidup bukan penghalang bagi seseorang untuk menjadi individu yang berjaya dan cemerlang dalam hidup. Apabila memiliki iltizam yang tinggi untuk berjaya dan sentiasa fokus dalam pelajaran, mereka juga mampu mengecapi kejayaan.

 ?? KARYA: HUZAIFI M.A ??
KARYA: HUZAIFI M.A

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia