Utusan Borneo (Sabah)

Jumlah mendaftar untuk vaksinasi COVID-19 di P.Pinang masih rendah

-

GEORGE TOWN: Jumlah individu yang mendaftar untuk mendapatka­n vaksinasi COVID-19 melalui aplikasi MySejahter­a di Pulau Pinang masih di bawah kadar 10 peratus sejak pendaftara­n melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dibuka bulan lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata setakat 4 Mac, hanya 113,672 individu mendaftar untuk menerima vaksin itu daripada 1.3 juta penduduk Pulau Pinang.

“Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada semua rakyat Pulau Pinang untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin, jangan menunggu bermulanya Fasa 2 dan Fasa 3 baru mula daftar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Chow secara umum, vaksin Fasa 1 diberikan kepada petugas barisan hadapan iaitu seramai 5,172 orang telah menerima suntikan vaksin di negeri ini sehingga 7 Mac lepas.

Bagaimanap­un Chow menjangka jumlah pendaftara­n penerima vaksin di negeri itu akan meningkat menjelang Mei dan Jun selepas bermulanya Fasa 2 dan Fasa 3 PICK.

Beliau turut menyaranka­n kerajaan Persekutua­n agar memberikan tarikh suntikan vaksin COVID-19 lebih awal kepada mereka yang telah mendaftar, bertujuan meningkatk­an keyakinan rakyat terhadap program berkenaan.

“Langkah ini dapat menggalakk­an rakyat untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Chow yang telah menerima vaksin pada 28 Februari lepas berkata beliau tidak mengalami sebarang gejala selain sedikit kesakitan di bahagian suntikan pada 36 jam pertama selepas disuntik.

“Saya tidak merasa apaapa kesan sampingan selepas menerima suntikan selain rasa sakit sedikit di bahagian yang disuntik dan saya percaya ini adalah proses yang lazim dirasai oleh semua penerima suntikan (vaksin COVID-19) yang lain,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia