Sarjan polis selamatkan mangsa kebakaran terima penghargaan
REMBAU: Tindakan nekad seorang sarjan polis menyelamatkan dua mangsa kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar di sini pada 6 Mac lepas mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Semalam, Sarjan Mat Shah Kasim, 57, menerima penghargaan daripada menteri itu melalui Pegawai TugasTugas Khasnya Datuk Seri Zulkifli Noordin.
Mat Shah berkata, beliau tidak mengharapkan sebarang balasan daripada mana-mana pihak kerana tindakannya itu berdasarkan keikhlasan, namun mengaku terharu menerima penghargaan tersebut yang turut disifatkan sebagai hadiah bermakna bersempena persaraannya pada November depan.
“Pengalaman berhadapan dengan api yang marak selama hampir sejam itu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila, apa di fikiran saya ketika itu hanyalah ingin menyelamatkan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menerima sijil penghargaan daripada Zulkfili pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Che Zakaria Othman, di sini.
Mengimbas kembali tragedi itu, Mat Shah berkata semasa kejadianpadaSabtulepas,beliau baru sahaja selesai melakukan penugasan kira-kira jam 6.30 petang dan dalam perjalanan pulang apabila ternampak api marak membakar bahagian depan sebuah rumah papan.
Menurut anggota Bahagian Logistik Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Rembau itu, beliau nekad untuk meredah api tersebut selepas melihat seorang wanita warga emas meluru ke dalam rumah bagi menyelamatkan anak lelakinya yang juga Orang Kurang Upaya.
“Ketika itu bomba belum sampai dan saya menjerit kepada warga emas itu supaya tidak masuk ke rumah, tetapi dia masuk juga kerana anaknya masih berada di dalam rumah itu. Tanpa fikir panjang, saya masuk dan terus menyelamatkan anaknya.
“Alhamdulillah, meskipun keadaan pada masa itu agak bahaya, Allah masih melindungi saya dan akhirnya saya dapat membawa keluar mangsa yang terperangkap di bahagian dapur,” katanya, menambah kedua-dua mangsa mengalami lecur pada beberapa bahagian badan. — Bernama