TBS lancar versi baharu aplikasi Jejak Asnaf, lebih cekap, mudah
KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melancarkan aplikasi Jejak Asnaf Versi 3 bagi membolehkan masyarakat terlibat sama dalam usaha mengesan golongan asnaf yang memerlukan bantuan secara lebih berkesan di negeri ini.
Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, versi baharu itu lebih cekap dan mudah yang turut dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan AI dalam menghadapi cabaran penularan COVID19 ketika ini.
“Aplikasi versi sebelum ini, masyarakat hanya boleh membuat aduan atau melaporkan tentang asnaf di kawasan mereka.
“Namun, aplikasi Jejak Asnaf Versi 3 baharu ini membolehkan orang ramai membantu TBS mengesan, melaporkan, menyiasat dan memberi kelulusan awal kepada TBS tentang potensi asnaf yang telah dikenal pasti,” katanya pada sidang media di Dewan Utama Saidina Umar Al-Khattab, Ibu Pejabat TBS di Batu Kawa semalam.
Tambahnya, aplikasi versi baharu itu juga dapat memberi maklum balas kepada TBS serta mengesahkan golongan asnaf yang telah berdaftar di bawah TBS.
Jelas Abang Shibli, aplikasi versi baharu itu kini boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apps Store.
“Setiap masyarakat yang menggunakan aplikasi ini secara sah menjadi pelapor yang berdaftar dengan TBS.
“Sehubungan itu, TBS mengalu-alukan masyarakat memberi kerjasama sebagai pelapor asnaf yang berdaftar dengan aplikasi ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, dengan usaha itu, TBS berharap golongan asnaf tidak terpinggir mahupun tercicir daripada golongan berhak mendapat bantuan daripada TBS.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, setiap laporan yang telah diisi akan diproses segera dalam tempoh maksimum tiga hari bekerja.
Selain itu katanya, bagi 2020, TBS telah mengagihkan RM71.35 juta hasil kutipan zakat kepada asnaf melalui tiga program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.
“TBS juga telah menyalurkan Bantuan Khas Darurat COVID-19 sebanyak RM8.5 juta kepada 54,403 penerima yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.
Malah katanya, bagi Januari hingga 11 Mac 2021, TBS telah mengagihkan RM11.5 juta kepada golongan asnaf melalui pelbagai produk bantuan.
Turut hadir Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi dan tetamu kehormat lain.
MIRI: Dalam usaha menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat setempat, sayap wanita Persatuan Klan Zhang Miri tampil menyumbangkan barangan terpakai kepada Pusat Dalam Komuniti (PDK) Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa (PIBAKIS) Miri di sini, semalam.
Sumbangan barangan terpakai itu seperti kain, majalah, baju, alat permainan dan beg disampaikan oleh Pengerusi Sayap Wanita Persatuan Klan Zhang Miri, Chong Joon Fah yang mengetuai rombongan tersebut.
Jelasnya, usaha itu adalah program kebajikan dianjurkan sayap wanita persatuan dua tahun sekali sebagai sokongan kepada PDK
PIBAKIS.
“Mereka (PDK) boleh menggunakan sumbangan barangan terpakai ini untuk menghasilkan kraf tangan atau jualan amal untuk manfaat PDK tersebut,” katanya.
Aktiviti sumbangan itu juga sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 pada 8 Mac lalu.