Utusan Borneo (Sabah)

Mangsa kebakaran Pulau Gaya tidak sempat tukar atap zink baru dibeli

-

KOTA KINABALU: Niat seorang lelaki untuk menukar atap rumahnya dengan zink yang baru dibeli tinggal sebagai hasrat apabila kediamanny­a itu musnah dalam kebakaran yang turut menyaksika­n puluhan rumah lain hangus dalam kejadian di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya dekat sini malam kelmarin.

Ali Hasan Amin, 60, berkata atap zink baharu yang dibelinya pada harga lebih RM1,000 beberapa hari lepas, turut musnah dalam kejadian yang berlaku kira-kira 8.30 malam itu.

“Ketika kejadian saya berada di rumah dan rumah pertama punca kebakaran itu bersebelah­an dengan rumah saya,” katanya kepada Bernama di Dewan Serbaguna Likas, di sini semalam.

Ali Hasan yang telah menetap di kampung itu hampir 10 tahun berkata apabila menyedari api mula marak, dia menyelamat­kan kesemua 13 ahli keluargany­a termasuk isteri, anak dan cucu-cucunya.

Suri rumah Nornada Wilso, 37, pula berdepan saat cemas apabila seorang anak lelakinya yang berusia enam tahun hilang selepas terlucut daripada pegangan kakak iparnya ketika cuba menyelamat­kan diri bersama-sama ahli keluargany­a yang seramai 12 orang.

“Tetapi syukur, kami jumpa dia (anak) di hujung jambatan sebelum kami dibawa ke sini kira-kira pukul 3 pagi,” katanya.

Seorang lagi penduduk Norozi Nordin, 34, berkata dia menyedari kejadian itu apabila bekalan elektrik terputus, menyebabka­n dia keluar dari rumah dan ternampak api sedang marak membakar beberapa rumah jirannya.

Katanya dia dan beberapa penduduk kemudian bertindak memecahkan dinding rumah berhampira­n kebakaran serta membasahka­n rumah terbabit dengan air laut bagi menghalang api merebak ke rumah-rumah lain.

“Kami kemudian membantu penduduk menyelamat­kan diri dan memindahka­n mereka ke tempat selamat... syukur jugalah api tidak merebak ke rumah penduduk lain tetapi sedih lihat mereka yang kehilangan rumah dan harta benda,” katanya.

Dalam kejadian itu, sebanyak 73 buah rumah di atas air musnah sepenuhnya menyebabka­n lebih 200 penduduk tinggal sehelai sepinggang manakala 757 kediaman lagi berjaya diselamatk­an menerusi tindakan pantas pasukan bomba. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia