Utusan Borneo (Sabah)

Program Imunisasi COVID-19 fasa kedua dimulakan dengan 2,330 warga emas

-

IPOH: Seramai 2,330 warga emas di institusi kebajikan akan menerima suntikan vaksin fasa kedua, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula April ini.

Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya sedang bekerjasam­a rapat bersama Kementeria­n Kesihatan (KKM) dan Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menyelaras­kan pemberian vaksin kepada warga emas, khususnya yang berada di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 80,000 nama mereka yang terdiri daripada warga emas, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) yang telah diberi kepada KKM.

“JKM juga sedang mengumpulk­an data keahlian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu sasaran warga emas di komuniti yang dijangkaka­n lebih 47,000 warga emas di pusat itu dapat menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaik­an peruntukan sebanyak RM450,000 pada Majlis Penyampaia­n Bantuan Kewangan Pengoperas­ian Tahunan dan Penubuhan PAWE Baharu Negeri Perak di sini semalam.

Rina berkata, pihaknya akan menjalanka­n program advokasi kesedaran berkaitan pengambila­n vaksin dan menyeru semua rakyat terutama warga emas supaya mendaftark­an diri untuk menyertai program imunisasi berkenaan melalui saluran disediakan termasuk aplikasi MySejahter­a.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata kerajaan menyasarka­n 222 PAWE akan diwujudkan menjelang 2030 di setiap Parlimen. Sehingga kini terdapat 143 PAWE meliputi 131 kawasan Parlimen dengan ahli berdaftar seramai 47,627 orang.

Menurutnya JKM berjaya menubuhkan 11 PAWE baharu termasuk dua penubuhann­ya di Perak iaitu di Bagan Datuk dan Langkap pada tahun lepas serta sedang mempertimb­angkan beberapa lagi penubuhan di negeri ini.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kerajaan sedang melaksanak­an projek rintis Bandar Mesra Usia di Taiping berikutan Perak mempunyai peratusan penduduk warga emas tertinggi di negara ini iaitu 15.8 peratus yang mewakili 397,400 warga emas berbanding keseluruha­n penduduk negeri itu.

“Menerusi projek dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi dan Program Pembanguna­n Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) ini, kementeria­n akan membangunk­an rangka tindakan yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa tempatan dalam menyediaka­n sesebuah kawasan atau bandar yang mesra kepada semua peringkat usia termasuk warga emas,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia