Utusan Borneo (Sabah)

34 Palauh ditahan ganggu pengguna jalan raya

- Oleh Norwahida Yamaluddin

LAHAD DATU: Seramai 34 orang Palauh berumur dua hingga 41 tahun ditahan polis ketika sedang mengemis di dua kawasan tumpuan di sini, kelmarin.

Daripada jumlah itu, seramai 25 kanak-kanak berumur dua hingga 8 tahun turut ditahan kerana disyaki dieksploit­asi untuk aktiviti itu yang menyalahi peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Sembilan wanita Palauh berumur 17 hingga 41 tahun pula ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuas­akan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, operasi yang dijalankan selama sejam telah menumpukan kawasan di laluan lampu isyarat Jalan Bunga Raya dan Bandar Sri Perdana.

Katanya, operasi itu untuk membantera­s kumpulan peminta sedekah dalam kalangan Palauh seterusnya mengawal jangkitan COVID-19.

“Tumpuan operasi ini khusus kes peminta sedekah yang mengganggu pengguna jalan raya, tidak memakai pelitup muka dan berkumpul tanpa penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua tahanan akan disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkahlan­gkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No.3) 2021 kerana tidak memakai pelitup muka dan berkumpul tanpa penjarakan fizikal.

Katanya, orang ramai diminta tidak memberi sedekah kepada pengemis di jalan raya, terutamany­a di kawasan lampu isyarat yang boleh mengganggu lalu lintas.

“Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Kesalahan Dalam Kaedah-kaedah Lalulintas: Kaedah 41 LN 166/59 yang memperuntu­kkan pejalan kaki tidak boleh berlengah-lengah di lintasan jalan,” katanya.

Dari rekod yang disertakan, sejumlah 1,650 orang dari komuniti Palauh yang berada di enam lokasi di daerah ini disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah mencuri dan penagihan dadah.

 ??  ?? ROHAN SHAH
ROHAN SHAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia