Utusan Borneo (Sabah)

‘Cikgu Aben’ belajar bahasa Dusun demi dekati murid

-

KUALA LUMPUR: Kisah orang luar jatuh cinta dengan Sabah mungkin sudah sering kita dengar. Tak dinafikan sukar untuk tidak jatuh hati dengan kepelbagai­an serta keunikan alam, bangsa dan budaya Sabah yang mempunyai daya tarikan tersendiri.

Rasa kagum ini juga yang mendorong seorang guru berasal dari Sik, Kedah mempelajar­i bahasa tempatan Sabah yang terkenal rumit selain keinginan beliau untuk melaksanak­an kewajipan sebagai pendidik dengan lebih efektif.

Muhamad Haikal Sa’ari atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Aben’, 29, tidak menafikan pada mulanya agak risau untuk berhijrah ke Sabah namun persepsi guru Bahasa Inggeris itu berubah 180 darjah setelah menjejakka­n kaki di negeri di bawah bayu itu pada tahun 2015.

Ditempatka­n di Sekolah Kebangsaan Kibubuk, Pitas di Kota Marudu sejak empat tahun lalu, banyak perkara baharu yang dipelajari, salah satu daripadany­a adalah bahasa Sabah.

“Pelajar lebih selesa menggunaka­n bahasa ibunda mereka. Kalau saya menggunaka­n Bahasa Inggeris sepenuhnya, itu akan membuatkan semacam ada halangan besar, jadi saya mengambil inisiatif sendiri untuk belajar dan faham bahasa Dusun Kimaragang.

“Contohnya, hari itu saya cakap ‘sit down’ tapi ada yang kurang faham. Apabila saya kata “mogom-mogom koh” (sila duduk) mereka faham. Apabila kita faham bahasa mereka, murid akan rasa senang dekat dengan kita. Jadi proses pengajaran pun akan jadi lebih mudah,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjadikan lagu tempatan sebagai asas untuk memahami bahasa Dusun yang dikenali mempunyai pelbagai cabang dan loghat mengikut daerah di Sabah.

“Saya belajar bahasa Sabah melalui lagu tempatan. Lagu pertama yang saya dengar adalah lagu ‘Id Pagandadan’ oleh penyanyi tempatan Fabian William. Saya tengok bait-bait lirik itu dan mencatat apa maksud lirik tersebut. Sedikit demi sedikit, saya akan mula faham di samping dapat menghayati lagu yang disampaika­n,” katanya.

Biarpun belum cukup fasih, kelebihan memahami beberapa bahasa Sabah - antaranya bahasa Dusun, Dusun Kimaragang, Dusun Tombonuo, Bajau, Murut dan Bugis, adalah dapat merapatkan jurang dengan murid-muridnya ketika sesi pengajaran dan pembelajar­an di dalam kelas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia