Utusan Borneo (Sabah)

Ibu tunggal lima anak lega dapat rumah baharu

-

ALOR GAJAH: Setelah lebih 40 tahun tinggal di rumah pusaka yang sudah uzur, Nazaria Ahmad, 42, kini mampu menarik nafas lega apabila mendapat kediaman yang lebih selesa untuknya tinggal bersama lima anaknya yang masih belajar.

Terpilih sebagai penerima rumah di bawah Program Baiti Jannati TNB 2020, Nazaria yang merupakan ibu tunggal itu menganggap apa yang diperolehi­nya hari ini seumpama mendapat rumah di dalam taman syurga.

“Kini saya dapat hidup dalam keadaan lebih selesa bersama lima anak lelaki berumur 12 hingga 20 tahun tanpa perlu lagi bersesak dan berhimpit. Sekarang rumah ada tiga bilik, siap ada katil dan tilam serta kelengkapa­n rumah yang lain.

“Sangat bersyukur dan paling penting, anak-anak lebih selesa untuk belajar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan rumah berkenaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis di sini kelmarin.

Sementara itu, Ketua Retail Negeri Melaka Tenaga Nasional Berhad (TNB) Khairizam Ibrahim berkata, walaupun perjalanan projek agak lewat disebabkan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia berjaya disiapkan pada 18 Januari lepas dan diduduki sejak itu.

“Kami berharap keluarga Nazaria tabah menghadapi ujian dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa di rumah baharu ini. Mudahmudah­an kehidupan mereka bertambah baik pada masa akan datang,” katanya.

Jelasnya, secara keseluruha­n bilangan projek Baiti Jannati TNB Melaka tahun 2020 ialah enam unit dan dengan dana diperuntuk­kan RM300,000 sementara bagi tahun 2021 ialah empat unit dengan dana yang telah diluluskan iaitu RM200,000.

Projek ini katanya, telah bermula sejak tahun 2008 dan penerima adalah dalam kalangan yang diiktiraf sebagai golongan masyarakat Islam yang layak menerima zakat (asnaf), oleh Majlis Agama Islam di negeri Melaka.

Menurutnya, projek ini sejajar dengan saranan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu kerajaan membaiki rumah golongan yang memerlukan, agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia