Utusan Borneo (Sabah)

Rombakan PDRM beri peluang kepada pegawai kanan baharu

-

KUALA LUMPUR: Rombakan pegawai kanan polis secara besar-besaran barubaru ini bertujuan memberi peluang kepada pegawai polis baharu, untuk menggantik­an tempat mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Pertukaran pegawai kanan yang berlaku bukan kerana ada kes-kes tertentu dan sebagainya, ia kena letak orang baru dan berkemungk­inan pegawai kanan polis yang sebelum ini telah lama berkhidmat atau tidak naik pangkat, perlu ditukarkan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata ini kerana terdapat pegawai kanan polis yang telah lama telah menetap, bertugas dan memegang sesuatu jawatan polis, di satu-satu tempat.

Sebelum ini, PDRM ada mengeluark­an kenyataan bahawa seramai 71 pegawai kanan PDRM terlibat pertukaran jawatan, berkuat kuasa 12 April depan.

Antara mereka yang terlibat pertukaran itu adalah Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamata­n Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, manakala Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, dengan memangku pangkat SAC.

Dalam perkembang­an lain, mengulas mengenai siasatan perkembang­an kes macau scam Abdul Hamid berkata pihaknya telah menerima segala kenyataan yang dirakam Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya serahkan siasatan kes ini kepada JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) untuk menjalanka­n siasatan yang mengambil masa antara sebulan hingga ke dua bulan.

“Semasa JIPS beri saya hasil laporan siasatan, saya mendapati seramai 31 pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam kes ini, maka apabila diteliti ia amat serius sekali,” katanya.

Abdul Hamid berkata kuasa untuk menentukan hukuman kepada pegawai dan anggota polis yang terlibat masalah tatatertib adalah ditentukan oleh Suruhanjay­a Pasukan Polis (SPP).

SPP dianggotai oleh lapan individu antaranya Menteri Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementeria­n Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, wakil Suruhanjay­a Perkhidmat­an Awam, wakil Institusi Kehakiman dan wakil pesara-pesara polis.

“Biarlah hukuman kes ini ditentukan oleh SPP, di mana SPP akan berbincang sama ada untuk buang kerja, menurunkan pangkat, didenda atau memaafkan pegawai atau anggota polis terlibat masalah tatatertib,” katanya.

Pada Disember tahun lepas, media melaporkan seramai 29 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan berpangkat DCP disiasat, bagi kes penipuan macau scam dan judi dalam talian melibatkan Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna.

Semua individu itu disiasat secara menyeluruh, terutama berhubung pemilikan nilai aset luar biasa berbanding jawatan dan gaji. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia