Merasai denyut kehidupan di Lok Baintan
SAYA teringat pemandangan di sepanjang sungai menuju Lok Baintan itu. Sangat mengasyikkan. Bergerak selepas solat Subuh di masjid berdekatan, dengan cepat kami menaiki kelotok dari Depot Soto Bang Amat di Jalan Banua Anyar RT4 No 13.
Kalau abang mahu berkunjung ke Banjarmasin, jangan lupa singgah menyaksikan bagaimana kehidupan mengalir di pasar terapung Lok Baintan ketika acil acil (makcik), wanita-wanita yang gigih, lagi pandai berpantun itu menjual barangan mereka di atas jukung, sejenis perahu yang menjadi alat pengangkutan di ibu negeri Kalimantan Selatan, yang juga dikenali sebagai kota seribu sungai.
Suasana masih gelap ketika itu. Di sepanjang siring sungai,(siring ertinya tepi) masih kelihatan kerlipan lampu dari rumah-rumah yang letaknya agak berdekatan.
Perlahan-lahan kita dapat melihat pagi menggeliat bangun ketika orang menyalakan api di tungku, mungkin bersiap menyediakan sarapan. Ada juga yang berkira-kira untuk mandi sementara yang lain sudah berendam dan merasai betapa dinginnya aliran sungai Martapura.
Mungkin abang ingin tahu mengenai pasar terapung Lok Baintan yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari kota Banjarmasin. Pasar terapung adalah tempat di mana penjual menjual barangan dagangannya di atas jukung atau perahu menunggu pembeli yang juga datang menaiki perahu.
Pelbagai barangan dagangan dijual oleh acil-acil atau makcik-makcik, antaranya hasil pertanian,aneka jenis buah-buahan, juadah kuihmuih, ikan kering, barangan keperluan harian, kraf tangan dan sebagainya.
Jika mahu ke sana, kita harus datang awal pagi untuk menyaksikan kesibukan pasar terapung yang bermula sejak subuh hingga sekitar jam 9.00 pagi.
Tetapi dari tengah sungai itu, kita juga dapat melihat penduduk menjual pelbagai jenis barangan seperti buah-buahan, barangan keperluan harian, kayu api dan sebagainya di rumah mereka yang terletak di pinggir sungai.
Pasar terapung itu wujud sejak lama iaitu sejak zaman kesultanan Banjar lagi. Setiap
hari, tidak pernah sepi kecuali hari raya. Kerajaan Banjarmasin adalah sebuah kerajaan maritim yang terkenal hingga akhir abad ke18. Kerajaan Banjarmasin itu sendiri memiliki sejarah yang panjang. Tetapi ketika Belanda menghancurkan
Keraton Banjar pada 1612, Panembahan Marhum, Raja Banjarmasin ketika iu memindahkan pusat kerajaannnya ke Kayu Tangi yang kini dikenal kota Martapura.
Selanjutnya, pihak Inggeris datang mengusir Belanda
pada 1809, kemudian menempatkan Alexander Hare sebagai residen untuk Banjarmasin tetapi kekuasaannya tidak lama kerana Belanda datang kembali.
Kemudian rakyat bangkit melawan Belanda mencipta babak baharu dalam sejarah Kalimantan Selatan dengan kemunculan Pangeran Antasari memimpin rakyat dengan gagah berani sehinggalah beliau mangkat pada 11 Oktober 1862.
Sebahagian besar kegiatan masyarakat di Banjarmasin terjadi di sungai atau di sekitar sungai. Banjarmasin sendiri dilalui banyak sungai besar dan sungai kecil.
Kegiatan perdagangan banyak dilakukan di Sungai misalnya di pasar pasar terapung. Masih banyak juga penduduk Banjarmasin yang membina rumah mereka di atas tiang atau rakit di pinggir sungai, dan menjadi salah daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke Banjarmasin.
Pasar terapung yang kami kunjungi itu terletak di Sungai Pinang atau Lok Baintan, kecamatan Sungai Tabuk. Kebanyakan penjual dan petani yang menjual hasil pertanian mereka berasal dari desa yang teretak di beberapa anak Sungai Martapura, antaranya sungai Lenge, Sungai Akung, Sungai Paku Alam, Sungai Saka Bunut, Sungai Madang, dan Sungai Lok Baintan sendiri.
Selain pasar terapung Lok Baintan itu, adalah lagi satu pasar terapung yang terkenal di Banjarmasin iaitu Pasar Terapung Kuin yang terletak di Muara Sungai Barito. Kedua-dua pasar terapung ini sudah lama wujud. Satu lagi pasar terapung buatan (semi terapung) ialah di Siring Jalan Pierre Tandean Tandean.
Kalau abang jadi ke Banjarmasin, jangan lupa berkunjung ke Pasar Terapung, melihat denyut nadi kehidupan mengalir. Mungkin abang boleh berbalas pantun dengan acilacil itu bijak berpantun.
Banjarmasin sendiri terkenal kerana khazanah budayanya yang kaya. Masih banyak tradisi lama yang dipertahankan.
Bahkan dari segi bahasa, jika dikaji aspek linguistiknya, bahasa Banjar masih satu keluarga dengan bahasa Melayu Berunai di Sabah dan Negara Brunei Darussalam.
Sebenarnya banyak yang dapat ditelusuri di Banjarmasin. Salah satu mercu tanda kota ini adalah Masjid Raya Sabilal Muhtadin. Nama masjid itu diambil dari nama sebuah kitab. Sudah pasti abang masih ingat pengarangnya, Sheikh Arshad Al Banjari, salah seorang ulama terkenal di Nusantara.
Saya fikir, jika abang ingin menelusuri jejak leluhur, abang perlu berkunjung ke tempat di mana mereka bermula. Tetapi jika ke Banjarmasin, jangan lupa ke pasar terapung Lok Baintan.