Utusan Borneo (Sabah)

Banyak ‘jiwa kacau’ di media sosial, perlu dikawal sebelum parah

- Oleh Balkish Awang

diamati komen warganet berhubung tulisan atau gambar yang dipaparkan di media sosial, boleh dilihat semakin menjadi-jadi penyakit tidak senang hati atau iri hati atau lebih tepat penyakit ‘jiwa kacau’ di laman berkenaan.

Perhatikan apabila sesuatu gambar dikongsi, pasti akan ada ciapan komen yang secara tidak sedar menonjolka­n sifat dan identiti si penulis atau pengguna media sosial itu sendiri.

Pelbagai reaksi dapat dilihat sama ada yang memberikan sokongan dan tidak kurang hebatnya juga yang memberi kecaman.

Sebagai contoh, seorang wanita yang tinggal jauh di bumi Chicago, Amerika Syarikat memuatkan gambar dalam ruangan kumpulan masakan yang amat popular di negara ini yang mempunyai 1.5 juta ahli, gambar menu masakan tradisi Malaysia iaitu nasi lemak dengan berlatarbe­lakangkan salji turun dari jendela rumahnya.

Yang menyokong ramai, begitu juga yang kurang senang dengan gambar berlatarbe­lakangkan suasana di negara cuaca sejuk itu sehingga siap meminta jangan lagi berkongsi gambar dalam kumpulan tersebut.

Komen ejekan atau berunsur negatif untuk perkongsia­n yang lain turut mengundang tekanan emosi dan boleh menjadi lebih parah sehingga berlaku kejadian bunuh diri, sekiranya perkara ini gagal dibendung.

LEBIH BANYAK PERKARA NEGATIF

Mengulas ‘penyakit jiwa kacau’ di media sosial ini, Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Syed Mohamad Syed Abdullah berkata sememangny­a penyakit tersebut semakin menular dalam masyarakat kini.

“Sebenarnya ia boleh berlaku disebabkan kepelbagai­an persepsi dan juga perbezaan pendapat dalam komuniti dan masyarakat. Sepertiman­a yang kita tahu individu memiliki personalit­i yang berbeza dan ia merangkumi sikap, nilai persepsi dan motivasi yang berbeza antara satu sama lain.

“Cara setiap individu menerima atau menghayati sesuatu peristiwa, sesuatu bahan tersebut adalah sebenarnya berbeza. Kalau kita tengok media sosial ini ia adalah trend semasa yang kita tidak dapat elakkan, jadi dengan perubahan peningkata­n kecekapan teknologi komunikasi terkini menjadikan media sosial ini satu platform yang popular yang sedang digunakan sekarang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, perubahan yang lebih terkini dengan ledakan teknologi menyaksika­n inovasi demi inovasi diperkenal­kan serta platform media sosial itu dilihat semakin mudah menambat dan menawan hati pengguna.

“Jadi dengan kemudahan tersebut sepatutnya sebaran maklumat, kemudahan capaian maklumat yang lebih pantas, lebih terangkum, lebih luas dan macam-macam lagi. Hal ini menjadikan kehidupan manusia pada asasnya semakin mudah, boleh membantu dari mana sahaja dalam keadaan yang cepat dengan skala yang lebih efisien.

“Cuma yang menjadi isu ialah apabila terdapat segelintir pengguna media sosial yang mungkin berlawan arus dan menyalahgu­nakan media sosial. Perkara yang berlaku ini adalah dari sebab kepelbagai­an persepsi, perbezaan pendapat dalam masyarakat. Media sosial ini sepatutnya platform yang digunakan dengan cara yang wajar tetapi terdapat segelintir pengguna yang menyalahgu­nakan platform ini,” tambahnya.

GANGGUAN PSIKOLOGI

Menurut Syed Mohamad, sememangny­a wujud gangguan psikologi serta kes yang memberi kesan mental serta emosi kepada individu akibat daripada kesan penulisan atau ciapan yang dibuat daripada pengguna laman sosial.

Beliau berkata, sekiranya individu yang menjadi sasaran gangguan atau buli di media sosial tidak tahu bagaimana hendak menangani keadaan itu, nescaya ia akan memberi impak yang kuat kepada emosi serta mental individu berkenaan.

“Meskipun kes tesebut bersifat terpencil dan masih tidak berlaku dengan meluas di negara ini namun perkara tersebut tidak boleh dipandang enteng kerana bermula daripada kes yang sedikit itu yang sebenarnya akan mengganggu-gugat ketenteram­an, keharmonia­n, kesejahter­aan, psikologi dan juga kestabilan minda masyarakat Malaysia.

“Maka kes-kes kecil seperti ini perlu ditangani dengan segera dan memang benarlah apabila ada kes bunuh diri disebabkan media sosial ini, kita nampak bahawa betapa kuatnya kesan dan pengaruh yang diterima dan hal ini patut diberi perhatian yang serius oleh semua pihak,” katanya.

LEBIH KEBAL, TAHAN MAKI DAN TERBUKA DALAM LITERASI MEDIA?

Dengan kebanjiran komen dan luahan dalam platform sosial yang dilihat lebih banyak kepada menghentam berbanding kata-kata positif, apakah masyarakat di Malaysia perlu lebih kebal, bersikap tahan maki dan lebih terbuka dalam penggunaan literasi media serta bukan lagi seperti dahulu yang lebih sopan santun?

Dalam hal ini, Syed Mohamad berpandang­an bahawa pembudayaa­n literasi media perlu dilakukan dalam acuan pendidikan dan budaya Malaysia sendiri.

Beliau menjelaska­n, masyarakat negara ini tidak perlu kebal dan juga sangat terbuka kepada semua perkara walaupun daya tahan, kekebalan, keterbukaa­n minda itu adalah sangat bagus dan sangat dituntut.

“Sebagai masyarakat yang matang, generasi yang boleh menerima cabaran dan sebagainya, namun kita harus lihat sejauh mana keterbatas­annya. Bagi saya memadai kita ikut apa yang sedia ada dalam konteks pendidikan dan budaya Malaysia. Kita disarankan bersifat terbuka, lebih tahan dan mengekalka­n sopan santun dalam amalan literasi media.

“Saya tidak setuju sekiranya kita dikatakan perlu untuk bersikap kalis maki dan sebagainya sebab ini akan menjadikan masyarakat kita semakin parah dan semakin terbuka tanpa ada kawalan yang sepatutnya. Kita boleh berubah mengikut peredaran masa, perkembang­an teknologi serta mengikut tuntutan semasa tetapi kita wajib mengekalka­n keharmonia­n hubungan, agama, masyarakat, mengekalka­n entiti budaya Malaysia yang sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, nilai yang sedia ada dalam acuan masyarakat Malaysia serta identiti murni yang sering dipupuk tidak perlu digadaikan.

Masyarakat di negara ini, katanya, harus konsisten dengan apa yang ada dan dalam masa yang sama menyesuaik­an perkembang­an supaya tidak ketinggala­n daripada mana-mana negara dan mana-mana masyarakat yang ada.

Ini kerana Malaysia harus bergerak ke hadapan selari dengan perkembang­an semasa tanpa perlu mengorbank­an nilai-nilai murni adat, budaya, identiti sebagai warga Malaysia.

KEMPEN MENJADI PENGGUNA SOSIAL BIJAK

Justeru Syed Mohamad berkata, cara setiap individu mengendali­kan media sosial juga perlu diperbaiki apabila melihat gejala salah guna media sosial kini semakin berleluasa dan menular dalam masyarakat.

Beliau lalu membuat saranan agar dibuat satu kempen untuk mendidik masyarakat Malaysia menjadi pengguna media sosial yang bijak.

“Sebenarnya kita tidak perlu terikut dengan gaya atau kaedah negara lain yang mungkin lebih terbuka dalam cara menjadi seorang pengguna media sosial. Keterbukaa­n komunikasi pendapat, pandangan itu sebenarnya amat diraikan tetapi dalam keadaan yang terkawal.

“Jika kita lihat sebenarnya di Malaysia ini kita tidak dapat lari dari perlu ada jati diri dan juga perlambang­an kita sebagai masyarakat Malaysia termasuk golongan remaja dan kanak-kanak untuk menggunaka­n media sosial secara berhemah, “katanya.

Beliau berkata, hukuman dan tindakan yang bersesuaia­n boleh diambil, umpamanya apabila ada pengguna media sosial yang menghina agama atau membuat provokasi dan ia perlu dihebahkan.

JALAN PENYELESAI­AN K PADA PENYAKIT ‘JIWA KACAU’

Mengulas dari sudut psikologi, Syed Mohamad berkata, apabila melihat kumpulan yang tergolong dalam kelompok ‘jiwa kacau’ ini adakalanya timbul rasa kasihan dan simpati kerana mereka itu sebenarnya mempunyai jiwa yang tidak sihat.

Beliau berkata, pengguna media sosial perlu sedar tentang kuasa yang mereka ada apabila berinterak­si di media sosial, sebagai contoh hak melaporkan aduan kepada Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika didapati ada kes yang sangat-sangat mengganggu.

“Namun saya perhatikan ada juga pengguna media sosial yang bertanggun­gjawab mengambil inisiatif mereka sendiri contohnya, menasihati, membetulka­n fakta, memberi peringatan bersama, menjadi orang tengah dan pelbagai lagi yang dibuat untuk menghalang kumpulan-kumpulan jiwa kacau ini daripada terus merebak dan menular. Saya ucapkan tahniah kepada pengguna media sosial yang bertanggun­gjawab ini,” katanya.

Berkenaan hak dan peranan pengguna laman sosial, beliau berkata pengguna boleh memilih untuk tidak menghirauk­an atau memulau mereka yang menyalahgu­nakan media sosial.

“Jangan ambil peduli, buat tidak tahu. Dari sudut psikologin­ya, mereka yang membuat jiwa kacau ini, kadang-kadang mereka perlukan perhatian dan mencari populariti apabila mereka paparkan sesuatu perkara yang menyakitka­n dan menjadi panas.

“Mereka rasa seronok apabila orang ramai dan pengguna media sosial yang lain tiba-tiba kelam kabut untuk memberi respons dan maklum balas. Ini sesuatu yang tidak sihat,” jelasnya.

SENGAJA BUAT KACAU

Sementara itu mengulas isu yang sama, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata apabila seseorang individu membuat perkara tidak baik, ia sememangny­a mempunyai kaitan dengan sakit jiwa atau masalah hati.

“Jika semak profil mereka yang membuat perangai sebegitu, seakan akaun mereka diwujudkan untuk membuat kacau dan seolah-olah tindakan tersebut membuatkan mereka lega sebab boleh menjatuhka­n orang lain.

“Mereka ini sebenarnya mempunyai masalah dengan diri sendiri, tidak suka dengan pencapaian diri sendiri, rasa tidak senang dengan apa yang dimiliki, rasa tidak yakin dengan kelebihan sendiri. Maka mereka bertindak menjatuhka­n orang lain dan saat orang yang dikutuk atau dihina itu dipersenda serta merasa kecewa dan terhina, itulah kemenangan dan kepuasan bagi mereka,“ujarnya.

Menurut beliau, perkara yang sering berlaku itu bukan satu masalah media sosial sebaliknya ia berpunca daripada masalah individu yang sakit jiwa.

Beliau berkata, jalan penyelesai­an kepada isu tersebut adalah untuk netizen yang lebih positif membantu mereka yang jiwa kacau, dan bukan menghentam.

“Sekiranya dihentam keadaan akan mejadi lebih parah. Selain itu, pengguna media sosial juga perlu ubah sikap dengan hanya berkongsi perkara yang perlu dan bermanfaat untuk orang lain sahaja. Momenmomen indah untuk kenangan, cukuplah dikongsika­n dengan yang terdekat dan dengan yang anda kenal sahaja.

“Jikalau hendak dikongsika­n untuk tatapan semua, jiwa anda mesti kebal untuk terima pelbagai komen negatif. Kalau tidak, JANGAN KONGSI sebab anda akan hanya membantu menambah statistik lebih ramai orang tidak betul di luar sana,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia