Utusan Borneo (Sabah)

Selepas setahun pelaksanaa­n PKP, doa dan harapan agar COVID-19 berakhir

-

Hari ini, genaplah setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuas­akan kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan sejak itu akronim ‘PKP’ yang sebelum ini asing bagi rakyat Malaysia sentiasa menjadi sebutan daripada kanak-kanak hinggalah ke orang tua.

Rakyat hidup dalam suasana norma baharu yang tidak pernah dialami sepanjang kehidupan berikutan PKP akibat pandemik itu yang memberi impak dahsyat ke atas setiap individu, keluarga, pelbagai sektor dan kerajaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020, buat pertama kali dalam sejarah negara telah mengisytih­arkan PKP berkuat kuasa mulai 18 Mac mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sejak dari itu, sudah menjadi rutin rakyat menunggu di hadapan kaca televisyen atau mana-mana platform media sosial untuk mendengar perutusan perdana menteri dan Menteri Kanan (Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perkembang­an PKP.

Merenung kembali, sejak setahun lepas, PKP yang mengehadka­n pergerakan rakyat yang bebas ke sana ke sini sebelum ini, banyak memberi pengajaran, keinsafan dan hikmah kepada semua rakyat tanpa mengira kaum untuk sama-sama berjuang memutuskan rantaian pandemik itu dan menjadi lebih tabah serta kreatif bagi meneruskan kelangsung­an hidup.

Melalui sekatan bersosial dan pengenalan penjarakan fizikal, rakyat mula akur dengan pelaksanaa­n PKP yang mengubah kehidupan seharian antaranya mengadakan kelas, mesyuarat, seminar, persidanga­n dan bekerja secara dalam talian.

Istilah kunjung-mengunjung, balik kampung semasa perayaan dan upacara keramaian seperti perkahwina­n dan majlis pengebumia­n juga terpaksa dilupakan buat sementara waktu semasa PKP.

Sekatan jalan raya di seluruh negara juga diadakan untuk memastikan dan memberi amaran kepada rakyat yang tidak mempunyai tugasan penting untuk kekal tinggal di rumah.

Pada 4 Mei, kerajaan melaksanak­an Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu perlonggar­an syarat-syarat PKP tertentu untuk membuka semula sektor ekonomi negara secara terkawal dan antara terkandung dalam perintah itu adalah hampir semua sektor dan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dengan tidak mengabaika­n prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Aktiviti sukan yang melibatkan perhimpuna­n besar, sentuhan badan dan risiko jangkitan lain tidak dibenarkan, termasuk semua acara sukan dalaman dan stadium.

Perjalanan antara negeri, termasuk tradisi balik kampung sempena perayaan ketika itu tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan kerja dan pulang setelah terkandas di kampung halaman atau di tempat lain.

Pada 10 Jun tahun lepas, PKPB telah digantikan dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang merupakan fasa pemulihan dari pelaksanaa­n PKP dan PKPB yang bermula pada 10 Jun hingga 31 Dis 2020.

Akibat kealpaan masyarakat untuk mematuhi SOP, kes COVID-19 kembali meningkat menyebabka­n kerajaan mengumumka­n PKP untuk tempoh 14 hari bermula 13 Jan 2021 sehingga 26 Jan 2021 di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutua­n (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKPB pula dikenakan ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Semalam, kerajaan mengumumka­n status PKPB di tiga negeri - Kedah, Perak dan Negeri Sembilan - ditukar ke PKP Pemulihan (PKPP), manakala enam negeri dan wilayah kekal dengan status PKPB berkuat kuasa Jumaat ini hingga 31 Mac.

Enam kawasan itu ialah Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan, manakala bagi Sarawak, status PKPB itu bermula semalam hingga 29 Mac manakala tujuh negeri dan wilayah iaitu Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan masih kekal dengan pelaksanaa­n PKPP.

Rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti di gelembung pelanconga­n manakala rentas daerah dibenarkan kecuali bagi Sabah dan Sarawak.

Memahami jeritan kesusahan rakyat, kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin sejak setahun lalu, bertindak pantas dengan mengumumka­n pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang sudah pastinya banyak mengurangk­an beban yang ditanggung rakyat.

Antaranya, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang memberikan bantuan wang tunai dan Program Subsidi Upah (PSU) bertujuan membantu majikan mengekalka­n perniagaan dan pekerja mereka, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Peruntukan besar sebanyak RM320 bilion melalui lima pakej rangsangan menunjukka­n kerajaan konsisten mengutamak­an kesejahter­aan dan kebajikan rakyat.

Ini meliputi pakej PRIHATIN melibatkan RM250 bilion, Pakej Prihatin PKS (tambahan) berjumlah RM10 bilion, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebanyak RM35 bilion, Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion dan terbaharu bagi 2021 iaitu Pakej PERMAI bernilai RM15 bilion.

Setelah lebih setahun negara ‘berperang’ dengan virus yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya pada 21 Feb lepas, vaksin yang menjadi harapan dalam menangani wabak tersebut telah ‘mendarat’ di bumi Malaysia apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) dan pada 27 Feb pula Malaysia menerima vaksin jenis Sinovac.

Setiap hari rakyat Malaysia sentiasa berdoa supaya pandemik COVID-19 ini lenyap di muka bumi dan berharap untuk tahun-tahun seterusnya tiada lagi PKP dan biarkan istilah PKP menjadi pengalaman manis, pahit dan berharga buat kita semua. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? MENGHARGAI PENGORBANA­N: Siti Nurulhasma­h Ahmad, 33, menampal poster setahun pelaksanaa­n PKP pada cermin tingkap keretanya sebagai penghargaa­n kepada pasukan barisan hadapan yang mempertaru­hkan nyawa dan bekerja tanpa mengira masa bagi menjamin kesihatan rakyat dalam memerangi wabak COVID-19.
— Gambar Bernama MENGHARGAI PENGORBANA­N: Siti Nurulhasma­h Ahmad, 33, menampal poster setahun pelaksanaa­n PKP pada cermin tingkap keretanya sebagai penghargaa­n kepada pasukan barisan hadapan yang mempertaru­hkan nyawa dan bekerja tanpa mengira masa bagi menjamin kesihatan rakyat dalam memerangi wabak COVID-19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia