Utusan Borneo (Sabah)

Individu tidak layak divaksin akan dinilai semula

-

BINTULU: Individu yang tidak diluluskan kelayakann­ya untuk menerima vaksin COVID-19 akan dinilai semula sama ada berkaitan risiko kesihatan atau kesilapan semasa mengisi borang dan sebagainya, kata Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung.

“Sekiranya pemohon vaksin tersebut didapati berisiko rendah hasil penilaian semula itu maka kita akan membuat temu janji baharu untuk pemohon tersebut,” katanya.

Jelasnya, tindakan itu dibuat supaya vaksin tidak dibazirkan sekali gus memenuhi kuota yang ditetapkan.

“Tetapi kita ada senarai sokongan penerima vaksin dan sesiapa pun dalam senarai menunggu maka kita akan masukkanny­a dalam senarai kedua penerima vaksin apabila penerima pertama tidak layak,” katanya ketika ditemui pada Program Vaksinasi Imunisasi COVID-19 fasa pertama siri dua membabitka­n 1,770 petugas barisan hadapan di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu di sini, semalam.

Berkenaan vaksinasi Pfizer BioNTech katanya, selepas 21 hari suntikan dos pertama, pemberian dos kedua akan dibuat pada hari ke-21 hingga ke-45, namun tempohnya dari 21 hari hingga ke 40 hari.

“Buat masa ini, kita jangkakan pemberian vaksin mengikut jadual vaksinasi yang ditetapkan pada hari yang ke-21, tiada masalah kelewatan dan semuanya berjalan lancar,” jelasnya.

“Pemberian dos kedua kemungkina­n akan bertindih dengan fasa kedua sebab dilakukan serentak mengikut kategori dan sasaran kita adalah untuk memvaksin sehingga 70 peratus serta menghabisk­an pemberian vaksin sebelum Ogos nanti,” katanya.

Ditanya mengenai jenis vaksin katanya, fasa satu membabitka­n pemberian dos pertama dan kedua adalah vaksin Pfizer BioNTech seterusnya fasa kedua kita dijangka menerima Sinovac.

“Program fasa satu siri satu untuk dos kedua dijangka diterima pada 27 Mac hingga 29 Mac, seterusnya penerima akan menerima sijil e-digital yang menjelaska­n mereka telah menerima dua dos tersebut,” katanya.

Dr Melvin berkata, untuk porgram tiga hari fasa satu siri satu dan dua ini, pemberian vaksin ini khusus untuk kakitangan Kementeria­n Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), pengamal perubatan swasta, farmasi dan klinik yang kesemuanya dimasukkan melalui temu janji MySejahter­a.

“Pemberian vaksin fasa kedua dijangka pada April dan setakat ini respons orang awam terhadap program vaksinasi ini baik tetapi kita masih memerlukan bantuan untuk mempromosi­kannya agar lebih ramai mendaftar diri terutama di luar bandar.

“Di bahagian Bintulu kita mempunyai 14 klinik dan pejabat daerah yang boleh mengurus pendaftara­n penerima vaksin justeru kami berharap maklumat ini dapat disampaika­n kepada penduduk di luar bandar terutama di rumah panjang.

“Pendekatan ini penting kerana kita tidak mahu sesiapa pun di rumah panjang tercicir daripada menerima vaksin dan setakat ini yang berdaftar hanya 40 peratus daripada 190,000 penduduk Bintulu yang layak sekali gus menuntut kita meningkatk­an pendaftara­n supaya dapat bersedia dengan pemberian vaksin fasa kedua dan ketiga,” katanya.

 ??  ?? DR MELVIN
DR MELVIN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia