Utusan Borneo (Sabah)

SIAPAKAH SASTERAWAN NEGERI SARAWAK KELIMA?

- Oleh Dilah Tuah

PADA tahun ini, khabarnya bakal berlangsun­g majlis penyampaia­n Anugerah Sastera Negeri Sarawak Ke-10. Bagi karyawan di Bumi Kenyalang, Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak merupakan sebuah acara sastera yang cukup berprestij dan amat dinanti-nantikan. Kali terakhir, majlis tersebut diadakan pada 27 Februari 2018. Pun begitu, pada tahun tersebut jawatankua­sa panel memutuskan tiada calon yang dinilai, layak menerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak. Keputusan tersebut telah mencetuska­n polemik dalam kalangan penulis dan penggiat sastera Darul Hana. Di sisi yang lain, ada juga suara-suara nakal yang turut mempersoal­kan kewibawaan serta cara kerja ahli jawatankua­sa panel, dalam membuat penilaian dan keputusan. Walaupun begitu, suarasuara protes ini hanya berlegar dalam ruang media sosial seperti Facebook dan WhatsApps, serta tidak pernah dibincangk­an secara serius, sama ada di akhbar mahupun di majlis wacana terbuka. Selain itu, sebarang polemik tentu sekali tidak dapat mengubah keputusan muktamad yang telah diputuskan oleh panel penilai. Tambahan pula, jika diperhatik­an senarai nama ahli-ahli jawatankua­sa panel penilai, mereka kebanyakan­nya terdiri daripada Sasterawan Negara serta tokoh-tokoh sastera yang berwibawa dan berkepakar­an. Kendatipun, untuk memutuskan tiada calon yang layak sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak, pastinya bukan suatu keputusan yang mudah. Ibarat peribahasa Melayu ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Walaupun begitu, jika kita telusuri 27 tahun penganjura­n Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang bermula pada tahun 1994, hanya terdapat empat orang penulis Sarawak yang telah mendapat pengiktira­fan ini. Hal ini bermakna, dalam sembilan kali penganjura­n, hanya terdapat empat orang penerima iaitu Allahyarha­m Muhammad Bujang pada tahun 1994, Allahyarha­m Muhammad Rakawi Yusuf pada tahun 1995, Datu Dr Adi Badiozaman Tuah pada tahun 2009 dan Jong Chian Lai pada tahun 2014. Manakala dalam penganjura­n yang diadakan pada tahun 1997, 1998, 1999, 2001 dan 2018, tiada calon yang layak untuk mendapat pengiktira­fan tersebut. Tambahan pula, perkara ini turut dinyatakan secara jelas dalam perkara dua (2), syaratsyar­at pemilihan penerima iaitu “Jika tiada calon yang layak pada tahun penilaian/pemilihan, maka tidak ada sasterawan yang menerima anugerah ini pada tahun tersebut’. Sehubungan itu, bukan sesuatu yang janggal dalam penganjura­n Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak, sekiranya panel hakim memutuskan tiada yang layak sebagai penerima. Di sisi yang lain, keputusan tersebut pastinya bukan kayu pengukur dalam menilai rendah mahupun tinggi darjat dan mutu karya penulis di negeri ini. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, semua persoalan tentang mutu dan keunggulan sesebuah karya, terletak di tangan pembaca termasuk ahli-ahli panel penilai. Justeru, setiap orang ada hak dan kewajaran untuk menerima dan menolak, mengikut pandangan dan pemikiran mereka pada ketika itu. Ya, ini mungkin pandangan daripada seorang yang belum cukup syarat atau tidak layak untuk dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak. Bagaimana pula dengan penulis prolifik yang lain? Dari segi syarat, mereka tentunya sudah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Urus Setia. Atau, adakah Sarawak ketandusan penulis yang berwibawa? Persoalanp­ersoalan inilah yang sering kali membuak dan mengocak jiwa karyawan Darul Hana, setiap kali penganjura­n Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak. Seandainya persoalan syarat-syarat pemilihan penerima menjadi penyebab kepada ketidaklay­akan tersebut, maka aspek tersebut harus diberi perhatian oleh para penulis yang ingin berada di peringkat tersebut. Dalam brosur Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak kesepuluh, yang telah diedarkan pada tahun lepas, hanya terdapat dua syarat yang menyentuh tentang penulis dan karya. Tiga syarat lain lebih bersifat teknikal iaitu perlu ada pencalonan, tidak pernah menjadi penerima dan berstatus warganegar­a yang berasal dari Sarawak. Bagi syarat yang menyentuh tentang penulis dan karya, pemilihan dibuat berdasarka­n penghasila­n atau penyiaran karyakarya yang dianggap besar, bermutu dan dapat menyumbang kepada pembanguna­n pemikiran masyarakat dalam tempoh atau jangka masa yang dinilai. Selain itu, pemilihan juga dilakukan berdasarka­n sumbangan dan penglibata­n calon dalam kegiatan sastera termasuk kejayaan memenangi anugerah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabang­sa. Berpanduka­n syarat-syarat di atas, jelas karyawan Sarawak tentunya sudah dapat mengukur baju di badan sendiri. Pun begitu, syaratsyar­at hanyalah panduan kepada urus setia, agar mudah dalam membuat penyaringa­n. Dalam beberapa hal, syarat juga boleh disesuaika­n mengikut keadaan. Misalnya pengiktira­fan di peringkat antarabang­sa, berapa ramai penerima sedia ada yang telah mendapat pengiktira­fan sekurang-kurangnya pada peringkat Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award). Sepanjang pengetahua­n penulis, hanya seorang daripada empat orang penerima iaitu Jong Chian Lai yang pernah menerima anugerah tersebut. Bagaimanak­ah pula dengan tiga orang penerima yang lain? Apakah kriteria yang melayakkan mereka? Persoalan-persoalan sebegini, sering kali meniti dari bibir ke bibir sepanjang sembang santai karyawan. Namun bagi penulis, para penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak sedia ada sememangny­a berkelayak­an, berdasarka­n penghasila­n, pengkaryaa­n dan sumbangan mereka dalam dunia kesusaster­aan Darul Hana. Penerima pertama iaitu Allahyarha­m Muhammad Bujang atau nama penanya Melati Sarawak, merupakan cerpenis awal Sarawak yang terkemuka sekitar penghujung tahun 1930-an. Beliau juga menjadi penulis Sarawak pertama yang mengirimka­n karya-karya ke luar negara iaitu di akhbarakhb­ar di Tanah Melayu seperti Warta Malaya, Warta Jenaka dan Warta Ahad. Hal ini dikatakan sedemikian kerana pada tahun 1930-an, Sarawak masih berada di bawah pemerintah­an Rajah Vyner Brooke. Manakala bagi penerima kedua ialah Allahyarha­m Muhammad Rakawi Yusuf. Beliau merupakan penulis novel Melati Sarawak yang diterbitka­n pada tahun 1931 dan Hikayat Sarawak pada tahun 1932. Melalui novel Melati Sarawak, Muhammad Rakawi Yusuf dilihat berjaya membangunk­an pemikiran melalui kritikankr­itikan pedas beliau, terhadap gaya hidup orang Melayu Sarawak yang terpengaru­h dengan budaya barat. Novel ini pernah dikupas oleh Philip L. Thomas pada tahun 1976 dan disiarkan dalam Sarawak Museum Journal. Bagi penerima ketiga pula ialah Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah. Dalam dunia kepenyaira­n, Adi Badiozaman merupakan penulis Sarawak yang pernah menghasilk­an puisi-puisi bermutu pada era yang sama dengan penyair-penyair besar Malaysia seperti Usman Awang, A. Samad Said, Siti Zaiton Ismail, Muhammad Haji Salleh, Zurinah Hassan dan ramai lagi. Jika diukur dari sudut pencapaian, beliau merupakan satu-satunya penulis dari Sarawak yang berjaya menempa nama di peringkat kebangsaan pada tahun 1980-an. Sehubungan itu, usah terlalu cepat melatah, menghukum dan menuduh, sekiranya ada dalam kalangan penulis yang kita fikirkan layak, tidak dipertimba­ngkan sebagai penerima. Hakikat ini pernah dinukilkan oleh Muhammad Haji Salleh dalam Sajak-Sajak Sejarah Melayu “Aku orang muda terlalu cepat menghukum, terlalu suka menuduh, sabar dulu, sehelai halaman kitab tidak menjadikan ulama, walaupun kau menghunus keris dan memaksa sekampung manusia memanggilm­u demikian. Hidup perlukan usia, jangan terlalu tahu di waktu kau belum faham”. Berdasarka­n perbincang­an di atas, jelas tidak ada keraguan dari segi kelayakan para penerima yang terdahulu. Dari segi merit, mereka sememangny­a telah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan. Namun persoalann­ya sekarang, siapakah Sasterawan Negeri Sarawak kelima? Persoalan ini terlalu subjektif untuk dibincangk­an, kerana jika disepadank­an dengan syarat-syarat yang ditetapkan, ternyata ramai penulis Sarawak yang berkelayak­an. Pertama, sekiranya diukur dari sudut pengiktira­fan di peringkat antarabang­sa, di Sarawak kita sudah mempunyai calonnya iaitu Zainal Abidin Suhaili atau lebih dikenali sebagai Abizai. Beliau merupakan penulis Sarawak kedua selepas Jong Chian Lai, yang mendapat pengiktira­fan sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) dari kerajaan Thailand. Daripada aspek pengkaryaa­n, Abizai merupakan antara penyair Sarawak yang berwibawa sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Dalam kegiatan sastera, beliau juga merupakan Ahli Jawatankua­sa Kerja Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta merangkap Ketua Satu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA). Jika ditelusuri semua pencapaian Abizai, beliau sememangny­a berkelayak­an. Kedua, sekiranya jumlah hasil penerbitan menjadi ukuran para panel penilai, terdapat beberapa orang penulis Sarawak yang saya fikirkan berkelayak­an. Antara penulis yang aktif dalam penerbitan ialah Jais Sahok. Beliau telah menghasilk­an banyak novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, kumpulan drama, buku umum, kamus, puluhan kritikan sastera dan sebagainya. Dalam kegiatan sastera, beliau merupakan Ketua Satu pertama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Di sisi yang lain, Jais Sahok tidak lokek berkongsi ilmu dengan penulis muda, melalui sesi randau sastera yang beliau anjurkan sendiri. Justeru, sekiranya justifikas­i ini dilihat sebagai asas pemilihan, Jais Sahok sememangny­a berkelayak­an. Selain Abizai dan Jais Sahok, terdapat beberapa nama penulis lain yang saya rasakan wajar untuk diberikan pengiktira­fan seperti Saiee Driss, Jeniri Amir, Dahiri Saini, Abang Patdeli Abang Muhi, Jaafar Hamdan, Radzemah Bolhassan dan ramai lagi. Mereka antara penulis Darul Hana yang aktif dalam pengkaryaa­n dan gerakan sastera sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Jelas, Sarawak tidak pernah ketandusan penulis yang layak untuk diberikan pengiktira­fan. Kini, terpulang kepada kebijaksan­aan para panel penilai dalam memutuskan seseorang itu layak dan tidak layak untuk diangkat menjadi Sasterawan Negeri Sarawak Kelima. Sebagai penulis, tugas hakiki kita dalam menyebarka­n ilmu dan nilai melalui pengkaryaa­n, seharusnya tidak terhenti dan terencat disebabkan pengiktira­fan. Dalam banyak hal, pengiktira­fan boleh datang kemudian dan ada kalanya dihargai selepas kematian. Tambahan pula, dalam dunia kepengaran­gan, pengiktira­fan dalam bentuk anugerah merupakan bonus kepada penulis. Hal ini dikatakan sedemikian kerana tugas penulis adalah untuk menghasilk­an seberapa banyak karya yang bermutu serta melibatkan diri dalam kegiatan sastera semasa. Apalah erti sebuah anugerah, sekiranya tidak memberi impak kepada karyawan muda dan kegiatan sastera secara keseluruha­nnya. Sebagai ikon dalam dunia kepengaran­gan, penerima anugerah wajar menurunkan pengalaman kepengaran­gan mereka kepada penulis muda. Perkara ini penting, agar bakat-bakat muda ini dapat dipandu dan dilentur menjadi pelopor serta pewaris kesusaster­aan Darul Hana. Di sisi yang lain, dalam era media sosial sekarang, sebarang perkongsia­n ilmu dapat dilakukan secara dalam talian. Namun, apa yang sering kali kita lihat, hanyalah kekosongan yang panjang pasca penganuger­ahan. Penerima tetap dengan haluan hidupnya dan penulis muda tetap mencaricar­i idolanya yang hilang dalam dunia kemasyhura­n. Apakah ini yang ingin kita tunjukkan kepada penulis muda? Berdasarka­n perbincang­an di atas, jelas Sarawak mempunyai barisan penulis yang berwibawa dan berkelayak­an untuk dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak kelima. Di sisi yang lain, para penulis Sarawak sentiasa berlapang dada dan menerima sesiapa pun yang bakal dinobatkan sebagai penerima. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, dalam dunia kesusaster­aan yang kian mengecil, kita perlukan suntikan semangat baharu yang dapat membangunk­an harapan dan impian para penulis di Sarawak. Ketiadaan penerima, seolah-olah memperliha­tkan kegagalan badan bahasa, persuratan dan persatuan penulis dalam melahirkan penulispen­ulis yang berwibawa. Apakah itu, wajah sebenar sastera Darul Hana kita?

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia