Utusan Borneo (Sabah)

KPM pastikan murid dapat kuasai tahap minimum pengajian: Radzi

-

ARAU: Kementeria­n Pendidikan (KPM) akan memastikan semua pelajar dapat menguasai tahap minimum yang ditetapkan sebelum mereka meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya apabila sesi persekolah­an tahun ini tamat.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, perkara itu antara yang dibincangk­an pihaknya dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari seluruh Perlis semalam.

“Kita bincang bagaimana nak pastikan murid dapat habiskan kurikulum dalam tempoh yang ditetapkan. Contohnya murid Tahun Satu bersedia untuk ke Tahun Dua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin bersama PIBG seluruh Perlis di Dewan Sivik semalam.

Menurutnya, KPM akan terus menganjurk­an program seumpama dengan semua komponen penting dalam ekosistem pendidikan negara bagi berkongsi cabaran yang dihadapi kementeria­n sepanjang setahun lepas, di samping memberi penjelasan dan berkongsi pandangan mengenai isu semasa.

Sementara itu, Pengerusi Penggerak Penglibata­n Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Negeri Perlis (PIBKs) Prof. Madya Dr Abdul Jalil Ramli mencadangk­an agar satu modul khusus diwujudkan oleh KPM bagi membantu ibu bapa memastikan anak mereka dapat menamatkan kurikulum.

“Jika kita lihat, akibat COVID-19 murid Tahun 1 mengikuti sesi pembelajar­an secara bersemuka dalam tempoh tiga bulan sahaja dan ada antara mereka yang terus masuk ke Tahun 2 dalam keadaan tidak dapat menguasai kemahiran 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira,” katanya.

Modul tersebut katanya akan membantu ibu bapa mengajar anak mereka di rumah, dengan keutamaan ialah kepada murid Tahun 1 dan 2 bagi mengelak wujudnya jurang yang luas dari segi penguasaan kemahiran 3M.

Menurutnya, kebanyakan murid yang tidak dapat menguasai kemahiran 3M ialah mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampu­an kerana ketiadaan kemudahan Internet dan peranti bagi membolehka­n mereka mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajar­an di Rumah (PdPR) ketika persekolah­an berlangsun­g secara dalam talian sebelum ini.

Sementara itu, Radzi berkata, penutupan sekolah di satu-satu kawasan akibat COVID-19 tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, kata beliau keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Dalam konteks ini, sekiranya PKD kata kelas tertentu kena tutup, maka kita akan tutup kelas tersebut.

“Sekiranya PKD kata tingkat tertentu dalam bangunan tersebut perlu ditutup maka kita akan tutup tingkat tersebut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia