Utusan Borneo (Sabah)

Saifuddin berhasrat ambil suntikan vaksin bersama pengamal media

-

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berhasrat mengambil suntikan vaksin bersama-sama kumpulan pengamal media, setelah mengambil kira risiko jangkitan COVID-19 terhadap golongan berkenaan yang sering berada di lapangan dan bertemu orang ramai.

Bagaimanap­un katanya beliau masih menunggu tarikh pemberian suntikan yang ditetapkan Jawatankua­sa Khas Akses Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19.

“Saya tidak tahu (bila tarikh suntikan), bergantung pada jadual. Kalau diikutkan saya sepatutnya menerima suntikan itu sekarang tetapi saya minta (disuntik vaksin) Sinovac dan bersama-sama dengan wartawan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Malaysia Prihatin di Pusat Transforma­si Bandar (UTC) Sentul, di sini semalam.

Saifuddin berkata, beliau sebelum ini memohon kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba agar pengamal media diberi keutamaan dalam pemberian vaksin.

“Mereka (Khairy dan Dr Adham) kata mereka berusaha kalau wartawan juga dapat didahuluka­n tetapi bukanlah sama dengan barisan hadapan, mereka faham bahawa wartawan, cameraman dan jurufoto semua turun padang lebih kurang bertemu dengan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, galakan keapda orang ramai menonton wayang dan menyokong industri filem tempatan bukan sematamata bersifat hiburan, tetapi bagi membantu kelangsung­an hidup mereka yang bergantung punca pendapatan pada industri berkenaan. Menurut Saifuddin, beliau sedar ada pihak yang mengkritik saranan itu, namun ketika ini katanya terdapat 30,000 individu yang bergantung punca rezeki daripada aktiviti drama dan filem, 5,000 pekerja di panggung wayang dan 10,000 yang terlibat dalam muzik.

“Tiada penggambar­an tiada job. Jadi saya harap rakyat faham sokong filem tempatan, ini bukan soal hiburan, pada kita hiburan tapi pada mereka ini punca pendapatan kalau aktiviti itu terhenti mereka sangat menderita,” katanya.

Ditanya berhubung kaedah pemilihan penerima bantuan alat peranti menerusi Kempen MYBAIKHATI, Saifuddin berkata pihaknya akan menggunaka­n data golongan B40 yang layak berdasarka­n senarai disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kempen itu merupakan antara fokus Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang menggunaka­n konsep penyumbera­n khalayak melibatkan pengumpula­n sumbangan alat peranti terpakai daripada syarikat perniagaan dan individu melalui cawangan terpilih enam syarikat telekomuni­kasi.

Terdahulu, Saifuddin turut menyertai Program Sembang Warung bersama wakil-wakil pemimpin komuniti yang terdiri daripada Persatuan Penduduk Perumahan Awam Seri Perak, Persatuan Wanita Ibu dan Anak-Anak Kuala Lumpur (Pewanida), Badan Amal Warga Asnaf (BAWA) Parlimen Batu, Persatuan Peniaga UTC Sentul dan Jawatankua­sa Masjid Amru Ibni Al-As.

Program antara lain bagi menerangka­n inisiatif dan langkah-langkah yang diambil kerajaan, dan pelaksanaa­n Proklamasi Darurat dalam menangani wabak COVID19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia