Utusan Borneo (Sabah)

Pekerja ladang mati dibunuh hanya kerana tegur rakan bazir air

- Oleh Yusop Teppo

KINABATANG­AN: Hanya kerana menegur sikap rakan serumah yang dikatakan sering membazir air, seorang pekerja ladang mati akibat ditetak rakannya di rumah pekerja Ladang Melangking Peringkat 4 Sukau, dekat sini, petang Sabtu lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa Lito Salibat mengalami kecederaan parah di bahagian perut akibat ditetak menggunaka­n sebilah parang oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Kinabatang­an Superinten­dan Dzulbahari­n Haji Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.49 malam hari yang sama.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah pekerja, Ladang Melangking membabitka­n pergaduhan dua pekerja ladang,” katanya.

Beliau berkata, penduduk sekitar menyedari kejadian setelah mangsa berlari keluar daripada rumah dalam keadaan berlumuran darah.

“Saksi-saksi sempat melihat suspek melarikan diri keluar dari pintu belakang rumah, namun tidak ada yang berani menahan suspek memandangk­an suspek sedang memegang sebilah parang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa telah ditetak oleh suspek di bahagian perut menggunaka­n sebilah parang hingga mengalami kecederaan parah dan mangsa sempat dikejarkan oleh pekerja ladang ke Hospital Kinabatang­an untuk menerima rawatan.

Bagaimanap­un, Dzulbahari­n berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital kira-kira jam 10 malam hari yang sama.

Beliau berkata, sebelum mangsa meninggal dunia, mangsa telah menceritak­an kejadian kepada seorang saksi yang membawa mangsa ke hospital.

“Punca kejadian pergaduhan berlaku adalah disebabkan salah faham suspek dengan mangsa berkaitan penggunaan air di rumah, yang mana mangsa dikatakan sering membazir air. Isu ini timbul kerana kawasan perumahan mereka sering mengalami masalah bekalan air,” katanya.

Dzulbahari­n berkata, suspek dan mangsa tinggal serumah dan bekerja lebih kurang lima bulan di ladang berkenaan.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan. Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan oleh pihaknya dengan dibantu oleh Unit K9 Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu,” katanya.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubung­i Pegawai Penyiasat Inspektor Richarles Edward ditalian 089561890 atau 014-3217050 untuk membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 ??  ?? DICARI POLIS: Suspek melarikan diri selepas menetak rakan serumah.
DICARI POLIS: Suspek melarikan diri selepas menetak rakan serumah.
 ??  ?? DZULBAHARI­N
DZULBAHARI­N

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia