Utusan Borneo (Sabah)

Sembilan ditahan semasa berhibur di pub haram

-

SIBU: Enam lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam ditahan semasa berhibur di sebuah premis bangunan kilang yang diubah suai menjadi pub haram di Jalan Ding Lik Kong di sini, malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kesemua suspek lelaki yang ditahan berusia antara 17 tahun hingga 21 tahun manakala suspek wanita berusia antara 19 tahun hingga 25 tahun.

“Pada jam 11.25 malam, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sibu diketuai ASP Taruna Madian telah melakukan serbuan di premis terbabit.

“Premis merupakan sebuah bangunan kilang dua tingkat. Semasa serbuan pagar utama terbuka.

“Pemeriksaa­n lanjut di tingkat bawah premis tersebut telah menemui sebuah pintu besi dalam keadaan terbuka.

“Pemeriksaa­n mendapati bilik tersebut telah diubah suai menjadi bilik hiburan (pub) dan di dalamnya kesemua suspek sedang berhibur dengan muzik yang nyaring,” katanya dalam satu kenyataann­ya kelmarin.

Stanley berkata, hasil pemeriksaa­n lanjut polis mendapati ketiga-tiga wanita warga Vietnam itu telah tamat tempoh dokumen perjalanan diri (pas lawatan) mereka manakala kesemua suspek lelaki memiliki kad pengenalan.

“Kesemua suspek gagal mengemukak­an dokumen perniagaan (hiburan) untuk beroperasi secara sah daripada Majlis Perbandara­n Sibu (MPS).

“Kesemua mereka menafikan sebagai pemilik premis atau pemilik pub tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tempat kejadian merupakan sebuah bilik di tingkat bawah di dalam bangunan kilang dua tingkat yang telah diubah suai menjadi pub lengkap dengan set karaoke, meja, kerusi, lampu dan minuman keras.

“Mereka datang ke sana hanya untuk berhibur memandangk­an semua pub atau pusat hiburan di Sibu ditutup kerana prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Salah seorang suspek lelaki terbabit mengaku telah menempah daripada seseorang untuk menyewa pub tersebut bagi tujuan berhibur pada hari kejadian,” ujarnya.

Stanley memberitah­u, kesemua suspek didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan, 2000 kerana berhibur di premis yang tidak mempunyai lesen hiburan yang sah daripada MPS.

Tegasnya, kesemua suspek turut disiasat atas kesalahan di bawah Peraturan 19(1) PPPPB (No. 4) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang iaitu berhibur di pusat hiburan.

“Suspek wanita yang telah tamat pas lawatannya didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen Malaysia (AIM) 1959/63.

“Kesemua suspek telah menjalani ujian saringan COVID-19 di Hospital Sibu dan keputusan adalah negatif.

“Kesemua suspek lelaki telah mula direman semalam manakala suspek wanita terbabit turut direman sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula kelmarin sehingga 3 April ini,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia