Utusan Borneo (Sabah)

Tambah baik dan perketat SOP bendung kemalangan tapak binaan lebuh raya

Menjadi tanggungja­wab pemaju untuk pastikan kemalangan dapat dihindarka­n: Pakar

-

KUALA LUMPUR: Tidak sampai pun tiga minggu, sekali lagi kemalangan maut membabitka­n pembinaan Leburaya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berlaku, sekali gus menjadi igauan ngeri terutama kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan lebuh raya sepanjang 31.8 kilometer itu.

Insiden yang berlaku di Persiaran Alam Damai semalam, mengorbank­an tiga lelaki warga China selain turut mencederak­an seorang penggguna jalan raya, yang melalui jalan berkenaan.

Keadaan ini menimbulka­n persoalan, apakah pihak pemaju lebuh raya tidak mengambil iktibar daripada kejadian sebelum ini, dengan melaksanak­an langkahlan­gkah proaktif agar tidak ada lagi nyawa yang akan melayang?

Pakar Keselamata­n Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Law Teik Hua berkata, insiden seperti ini tidak sepatutnya berulang, kerana kerajaan sebelum ini telah pun memberi ingatan agar ciri-ciri keselamata­n di tapak binaan lebuh raya itu dipertingk­atkan.

“Ini amat mengecewak­an, kerana telah berulang kali berlaku dengan membabitka­n jumlah mangsa yang ramai.

“Paling membimbang­kan mangsa bukan sahaja melibatkan pekerja tapak projek semata-mata, tetapi juga orang awam yang menjadi pengguna jalan raya di kawasan itu,’’ katanya kepada Bernama di sini semalam.

Sehubungan itu tegasnya, pemaju projek perlu meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk mengenal pasti kelemahan dan sekali gus menambah baik SOP itu, bagi memastikan kemalangan tidak berulang.

“Kalau kita minta pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan, bagaimana mereka mahu berhati-hati? Mereka sendiri pun tidak akan tahu bila stuktur kren akan tumbang dan menghempap mereka.

“Sehubungan itu, tanggungja­wab pemaju adalah memastikan kemalangan seperti itu dapat dihindarka­n,” katanya.

Dalam masa sama, Law turut menyaranka­n supaya laluan kontra atau laluan alternatif diwujudkan, untuk pengguna jalan raya di situ sebagai langkah segera bagi memastikan keselamata­n pengguna.

Sementara itu mengulas cadangan untuk mengenakan hukuman berat terhadap pemaju yang cuai, Law berkata langkah itu tidak akan menyelesai­kan masalah membabitka­n kemalangan di tapak binaan.

“Paling tidak mereka (pemaju) hanya dikenakan denda dan apabila denda dibayar, apa lagi jaminan (untuk keselamata­n) yang boleh diberikan kepada pengguna?” katanya.

Pada 3 Mac lalu, dua maut, manakala tiga lagi cedera apabila struktur jambatan lebuh raya SUKE berhampira­n Desa Tun Razak menghala Ampang runtuh, setelah sebuah treler merempuh perancah besi lebuh raya itu.

Sebelum itu, Sept tahun lalu seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandu ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan Lebuhraya SUKE, yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam kejadian pukul 8.45 pagi hari ini, tiga pekerja projek binaan lebuh raya itu maut, dengan dua mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 36.5 meter setelah besi crane ‘launcher’ di lebuh raya itu terjatuh, sebelum menghempap sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Kemalangan itu juga menyebabka­n pemandu kereta berkenaan cedera parah.

Sementara itu, Ketua Jaringan Industri dan Komunikasi Korporat Institut Pengangkut­an Malaysia Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Irwan Ibrahim berkata, pelbagai faktor boleh mendorong kepada berlakunya kemalangan kren di tapak binaan.

“Kajian kemalangan kren di tapak pembinaan di Malaysia oleh penyelidik Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Sains Malaysia pada 2019 mendapati, punca utama disebabkan faktor operasi dan teknikal.

“Elemen yang menyumbang­kan kepada kemalangan ini adalah struktur dan kegagalan mekanikal komponen kren, manakala faktor lain pula disebabkan aspek pengurusan keselamata­n, faktor manusia dan soal persekitar­an,’’ katanya lagi. —

Paling membimbang­kan mangsa bukan sahaja melibatkan pekerja tapak projek sematamata, tetapi juga orang awam yang menjadi pengguna jalan raya di kawasan itu. Prof Dr Law Teik Hua Pakar Keselamata­n Jalan Raya UPM

 ?? — Gambar Bernama ?? REMUK: Kerja-kerja pengalihan kenderaan yang remuk selepas dihempap struktur besi kren yang jatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Alam Damai, semalam.
— Gambar Bernama REMUK: Kerja-kerja pengalihan kenderaan yang remuk selepas dihempap struktur besi kren yang jatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Alam Damai, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia