Utusan Borneo (Sabah)

Hanya 53 peratus lembangan sungai di Malaysia dikelaskan sebagai bersih

Pendidikan dan kesedaran orang ramai berhubung kelestaria­n sungai masih kurang

-

KUALA LUMPUR: Hanya 53 peratus lembangan sungai di Malaysia dikelaskan sebagai sungai bersih, manakala 42 peratus adalah sungai tercemar dan bakinya dikategori­kan sebagai tercemar teruk, kongsi dua pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) semalam.

Menurut Ts. Dr Ismaniza Ismai dan Dr Nurul Nadiah Mohd Firdaus Hum, pensyarah di Pusat Pengajian Kimia dan Persekitar­an Fakulti Sains Gunaan, sejak akhirakhir ini, kes pencemaran sungai juga dilihat semakin berleluasa sehingga mengakibat­kan gangguan bekalan air bersih.

Mereka berpandang­an situasi itu berlaku berikutan masih kurangnya pendidikan dan kesedaran orang ramai berhubung kelestaria­n sungai serta bagaimana menguruska­n sungai bagi memastikan kualiti air sungai terjamin.

“Umpama sambutan ulang tahun, tahun ini menyaksika­n Sungai Kim Kim di Johor tercemar kembali. Aduan penduduk setempat dan hasil pengawasan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bahan pencemar dan sisa kimia masih di paras yang membimbang­kan.

“Di negeri Selangor pula, pencemaran sungai menjadi polemik kerana sering dibabitkan dengan gangguan bekalan air. Rata-rata boleh dikatakan selang beberapa bulan akan ada kes yang membabitka­n pencemaran air sungai dan bekalan air. Sektor industri dan masyarakat setempat mula terjejas akibat gangguan air yang berterusan,” katanya.

Mereka berkata demikian dalam artikel bertajuk ‘Tercemarny­a Hari Air Sedunia dengan Pencemaran Sungai Yang Berterusan’ yang diterbitka­n dalam seksyen Tinta Minda bersempena sambutan Hari Air Sedunia menerusi portal Bernama semalam.

Ismaniza dan Nurul Nadiah berkata walaupun langkah sewajarnya telah diambil oleh pihak berkuasa, semua jari tetap menuding kepada kerajaan negeri untuk mengambil langkah drastik bagi memastikan kejadian tidak berulang.

“Sikap menuding jari tidak menyelesai­kan masalah pencemaran mahupun bekalan air yang ada. Andai hanya satu pihak sahaja yang berusaha membendung masalah yang ada. Perlu ada kerjasama di antara masyarakat dan pihak berkuasa, ibarat aur dengan tebing, kedua-dua pihak hendaklah bekerjasam­a untuk melestarik­an sumber air ini,” kata mereka.

Justeru, kata mereka anjakan paradigma masyarakat terhadap sikap ‘not in my backyard’ kepada keprihatin­an akan kelestaria­n sungai secara menyeluruh seharusnya menjadi tunjang dalam kehidupan.

“Penghayata­n sebenar melestarik­an sungai dan sumber air mentah ini seharusnya dihayati dalam erti kata yang sebenarnya, bukan sekadar melepaskan batok di tangga. Sambutan Hari Air Sedunia saban tahun mungkin boleh dianggap tidak berjaya selagi masih ramai yang tidak menghargai dan salah mengurus sumber yang terbatas dan tidak tergantika­n ini,” kata mereka.

Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dengan tema sambutan tahun ini ‘Menghargai Air’.

Artikel penuh boleh diakses di Bernama.com. —

Umpama sambutan ulang tahun, tahun ini menyaksika­n Sungai Kim Kim di Johor tercemar kembali. Aduan penduduk setempat dan hasil pengawasan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bahan pencemar dan sisa kimia masih di paras yang membimbang­kan. Ts. Dr Ismaniza Ismai dan Dr Nurul Nadiah Mohd Firdaus Hum Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Kimia dan Persekitar­an Fakulti Sains Gunaan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia