Utusan Borneo (Sabah)

Bekas pengurus besar kanan syarikat pembinaan didakwa rasuah

-

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus besar kanan syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM215,700, pada 2017 hingga 2019.

Chua Shiou Meng, 49, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut dua pertuduhan tersebut, tertuduh secara rasuah menerima suapan wang daripada dua individu masing-masing berjumlah RM140,000 dan RM75,700 melalui akaun bank milik Chua serta isterinya sebagai dorongan untuk tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabka­n kontrak dua buah syarikat dibatalkan.

Chua didakwa melakukan kesalahan tersebut di dua bank masing-masing di Bandar Puchong Jaya pada 14 Jun 2017 hingga 13 Sept 2018 dan di Bandar Puteri Puchong, pada 9 Feb 2018 hingga 17 Jan 2019.

Dalam prosiding sama, Chua turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan meminta rasuah daripada seorang individu iaitu suapan RM10,000 bayaran wang setiap bulan sebagai dorongan tidak memberikan laporan prestasi kerja kurang baik dan menyebabka­n kontrak syarikat dibatalkan yang dilakukann­ya di sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya, dekat sini, pada Jan 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanap­un, Chua, yang diwakili peguam Nik Ahmed Asraf Nik Othman, Shah Rizal Abdul Manan dan Kelvinder Singh, merayu agar mahkamah mengurangk­an jaminan atas alasan masih menanggung isteri dan anak serta mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor sekali sebulan dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. —

 ?? — Gambar Bernama ?? DIBICARA: Chua (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM215,700, pada 2017 hingga 2019.
— Gambar Bernama DIBICARA: Chua (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM215,700, pada 2017 hingga 2019.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia