Utusan Borneo (Sabah)

Kapal bawa sisa plastik dari AS akan diusir: Tuan Ibrahim

-

IPOH: Kapal kontena dari Amerika Syarikat yang disyaki dalam perjalanan membawa sisa plastik ke negara ini akan diusir sebaik sahaja kapal itu berlabuh dan pemeriksaa­n berkaitan selesai dilakukan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tun Man.

Beliau berkata arahan telah dikeluarka­n kepada pihak berkuasa pelabuhan untuk memantau dan menahan kapal tersebut apabila tiba di Pelabuhan Klang.

“Apabila kapal berlabuh di Pelabuhan Klang, kita akan menyemak dengan teliti keadaan sisa plastik dalam kontena. Sekarang, kita berhubung dengan pihak pelabuhan dan kastam untuk menunggu kapal itu yang dijangka sampai di Pelabuhan Klang hari ini dan menahan kontenanya di kawasan pelabuhan.

“Kita juga akan maklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan di Amerika Syarikat mengenai pengimport­an sisa plastik ke negara berkenaan sama ada ia dicemari dengan bahan buangan terjadual atau bahan kimia sebelum dihantar balik ke negara asal,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Tuan Ibrahim yang ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri Perak yang dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad, diminta mengulas perkembang­an terkini isu tersebut.

Dua hari lepas, menteri itu dilaporkan berkata Jabatan Alam Sekitar tidak menerima sebarang permohonan pengimport­an sisa plastik tersebut yang disyaki dibawa dari Los Angeles.

Mengulas isu berbeza, Tuan Ibrahim mencadangk­an negeri berjiran yang berkongsi sungai utama bekerjasam­a membina loji rawatan air (LRA) di lembangan sungai itu bagi menjimatka­n kos.

“Kita mempunyai idea supaya loji-loji air ini akan berkongsi antara negeri jadi boleh dibekalkan kepada dua negeri. Itulah mekanismen­ya.

“Kalau satu loji boleh bekalkan air kepada dua-dua negeri kita akan jimat kos. Tetapi ini memerlukan rundingan di peringkat negeri,” katanya, menambah kementeria­nnya bersedia membantu dari segi khidmat nasihat kepada negeri yang berminat melaksanak­an idea tersebut.

Terdahulu ketika berucap, Tuan Ibrahim berkata dua daripada tiga pakej projek pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetunga­n di Papan di daerah Kinta yang bernilai hampir RM2 bilion dijangka siap pada November ini.

Menurutnya projek meliputi pembinaan rangkaian paip pembetunga­n sejauh 157 kilometer, 14 buah stesen pam dan sebuah loji rawatan kumbahan serantau yang boleh menampung kapasiti kumbahan bersamaan dengan 1.5 juta penduduk.

“Melalui projek ini, 277 buah loji kecil di sekitar bandar raya Ipoh akan ditutup dan seterusnya mengelakka­n berlakunya pencemaran ke atas saliran air yang disebabkan oleh pelepasan air sisa kumbahan,’ katanya. —

 ?? — Gambar Bernama ?? PERASMIAN: Saarani (empat, kiri) dan Tuan Ibrahim (tiga, kiri) ketika gimik perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak di Ipoh, semalam.
— Gambar Bernama PERASMIAN: Saarani (empat, kiri) dan Tuan Ibrahim (tiga, kiri) ketika gimik perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak di Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia