Utusan Borneo (Sabah)

Pematuhan SOP PKP sektor peruncitan, pengedaran capai 98 peratus: Nanta

-

KUALA LUMPUR: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sektor peruncitan dan pengedaran ketika beroperasi mencapai prestasi cemerlang dengan tahap pematuhan 98 peratus.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada 417,492 pemeriksaa­n yang dijalankan menerusi operasi penguatkua­saan bermula 13 Mei tahun lalu hingga 9 Mac 2021, sebanyak 408,988 didapati mematuhi SOP.

“Sebab itulah jumlah kluster COVID-19 melibatkan sektor perniagaan di bawah seliaan KPDNHEP iaitu pemboronga­n, peruncitan dan pengedaran sangat rendah, termasuk khidmat gunting rambut dan kedai makan.

“Kadar ketidakpat­uhan yang dicatatkan juga rendah iaitu kurang daripada 10,000 kes,” katanya dalam sidang media khas secara maya menerusi aplikasi Zoom semalam.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berkata hanya 7,746 diberikan nasihat, 589 diberikan amaran dan sebanyak 169 kompaun dikeluarka­n semasa menjalanka­n operasi antaranya di pasar raya, restoran dan pasar awam.

Nanta berkata 37 SOP aktiviti sektor peruncitan dan pengedaran dibangunka­n untuk membolehka­n peniaga menjalanka­n operasi perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam usaha memulihkan ekonomi negara susulan penularan COVID-19.

Menyentuh mengenai pencapaian lain kementeria­n tersebut sepanjang tahun lalu, Nanta berkata kawalan bekalan dan harga pelitup muka dan cecair pembasmi kuman antara yang menjadi tumpuan utama susulan penularan pandemik.

Katanya pihaknya antara lain melaksanak­an larangan eksport ke luar negara dan pewartaan harga pelitup muka pada harga runcit bagi mengatasi situasi kekurangan bekalan selain mengelakka­n peniaga mengambil untung berlebihan.

“Pada permulaan penularan COVID-19, berlaku situasi pengguna sukar mendapatka­n pelitup muka selain penjual dan pengeluar pelitup muka tiga lapis mengambil kesempatan menaikkan harga daripada RM0.80 sekeping kepada RM5 kerana permintaan tinggi selain bilangan pengeluar yang terhad.

“Bagi mengatasi situasi kekurangan pelitup muka dalam negara yang kritikal ketika itu, kerajaan memutuskan untuk menetapkan harga siling pelitup muka kepada RM2 sekeping bagi merangsang import selain mendapatka­n bekalan dari luar negara dengan tempoh lebih cepat sebelum menurunkan kepada RM1.50,” katanya.

Selain itu, katanya dalam setiap pelaksanaa­n SOP ketika PKP, pihaknya sentiasa cuba untuk mengimbang­i antara melindungi hak pengguna namun pada masa yang sama masih menjaga kepentinga­n peniaga.

“Kami mengamalka­n dasar mesra kepada semua komuniti peniaga dan menghargai dan memahami kepentinga­n pemain industri dalam mengekalka­n sektor ekonomi yang rancak dan aktif.

“Kami sering mengadakan libat urus bersama mereka kerana mahu memahami masalah yang dihadapi dan seterusnya mencari penyelesai­an kepada setiap masalah. Saya amat menghargai hubungan baik antara KPDNHEP dan pemain industri,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata agensi di bawah kementeria­nnya seperti Suruhanjay­a Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjay­a Persaingan Malaysia (Mycc) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut membantu menyediaka­n persekitar­an perniagaan yang kondusif. —

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia