Utusan Borneo (Sabah)

Ulat ratus invasif Spodoptera frugiperda, ancaman kepada industri jagung negara

-

ULAT ratus invasif, Spodoptera frugiperda (Lepidopter­a: Noctuidae) merupakan salah satu daripada serangga perosak bagi tanaman daripada famili Poaceae seperti jagung, padi, tebu dan sekoi.

Ancaman ulat ratus invasif ini harus diberi perhatian sewajarnya kerana kesan kerosakan yang dibawa adalah signifikan kepada penanaman jagung di seluruh dunia. Infestasi oleh S. frugiperda telah mengakibat­kan kerugian hasil sebanyak 8.3 hingga 20.6 juta tan metrik per tahun di 12 negara pengeluar jagung di benua Afrika seperti Kenya, Ethiopia dan Zimbabwe.

Dipercayai berasal dari benua Amerika, perosak ini telah tersebar dengan jayanya ke Eropah, Afrika, India dan Sri Lanka, dan seterusnya merebak ke rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Myanmar pada tahun 2018.

Pada awal tahun 2019 pula, beberapa negeri di Semenanjun­g Malaysia seperti Perlis, Kedah, Perak, dan Johor turut melaporkan kesan kerosakan yang disebabkan oleh perosak ini. Bermula pertengaha­n tahun 2019, S. frugiperda telah berjaya dikenal pasti di beberapa daerah di Sarawak seperti Kuching, Bintulu dan Miri.

Kerebakan yang pantas ini disebabkan oleh kebolehan perosak dewasa iaitu ramarama yang mampu terbang pada jarak sejauh beberapa ratus kilometer hanya dalam satu

malam. Hal ini turut dibantu oleh tiupan angin yang kuatmenyeb­abkan ia mudah tersebar ke negara-negara yang berdekatan.

Perosak ini mempunyai kitaran hidup jenis lengkap dengan empat peringkat hidup iaitu telur, larva, pupa dan dewasa. S. frugiperda dapat dikenal pasti biasanya pada peringkat larva dan dewasa, di mana larva awalan berwarna kehijauan dan akan bertukar menjadi keperangan apabila matang serta mempunyai struktur huruf ‘Y’ terbalik di bahagian kepala dan empat bintik hitam yang tersusun dalam bentuk segi empat pada bahagian abdomen segmen yang kelapan.

Bagi peringkat dewasa pula, rama-rama S. frugiperda mempunyai warna badan dan sayap hadapan keperangan dengan tompokan warna kelabu jerami di hujung sayapnya. Manakala sayap belakang pula berwarna putih kekuningan dengan pinggir sayap berwarna keperangan. Bentuk telur dan pupa untuk spesies ini pula sukar dikenal pasti kerana ciri-ciri morfologi luaran yang hampir sama dengan spesies rama-rama Noktuid yang lain.

Kehadiran ulat ratus invasif ini juga dapat dikesan berdasarka­n hasil buangan larva yang disebut sebagai fras atau bahan kumuh serangga yang berbentuk seperti daun yang

telah dihancurka­n. Najis perosak ini boleh didapati dalam rongga pucuk dan di atas daun pokok yang diserang.

Peringkat hidup yang menyebabka­n kerosakan pada pokok jagung adalah peringkat larva yang memakan bunga dan pucuk, serta mengorek batang. Ramarama betina akan bertelur di bawah daun dan larva akan menetas selepas tiga hingga lima hari.

Kesan kerosakan yang serius mampu mengakibat­kan kerugian kepada petani kerana bunga jagung yang dimakan tidak berjaya menghasilk­an tongkol jagung dan seterusnya pokok jagung bantut dan akhirnya mati. Larva juga akan memakan tongkol jagung yang terbentuk menyebabka­n tongkol jagung cacat dan tidak berjaya dipasarkan kepada pembeli kerana kehilangan nilai estetika.

Selain itu, perosak ini juga berpotensi untuk merosakkan tanaman padi yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia seperti yang telah dilaporkan di India dan Colombia. Kajian mendapati bahawa terdapat dua strain S. frugiperda iaitu strain jagung dan strain padi. Strain jagung lebih gemar menyerang tanaman jagung, sekoi dan kapas, manakala strain padi pula menyerang tanaman padi, pastura dan alfalfa.

RUGI: Tongkol jagung dirosakkan sebelum dapat dipasarkan.

Terdapat beberapa kaedah pengawalan yang telah dicadangka­n bagi mengatasi masalah infestasi oleh perosak ini. Antaranya ialah pendekatan racun kimia seperti spinosad, indoxacarb, flubendiam­ide, cypermethr­in, emamectin benzoate dan chlorantra­niliprole.

Walau bagaimanap­un, kaedah ini memerlukan penelitian semula kerana terdapat beberapa kes yang melaporkan S. frugiperda rentan dan kalis kepada semburan racun kimia.

Sifat larva yang mengorek ke dalam bahagian batang pokok jagung juga menyebabka­n semburan racun kimia kurang berkesan dalam mengawal perosak ini. Di samping itu, penggunaan racun kimia yang berleluasa tanpa kawalan turut membawa kesan buruk kepada persekitar­an.

Oleh itu, para petani disyorkan untuk menjalanka­n kaedah amalan kultura yang memberi penekanan kepada aspek kebersihan di batas tanaman. Petani harus sentiasa menjalanka­n pemerhatia­n secara berkala di batas supaya infestasi peringkat awalan dapat dikesan dan penghapusa­n pokok jagung yang diserang segera dijalankan.

Pokok yang terkesan harus segera dicabut dari batas dan dihapuskan dengan cara pembakaran supaya larva tidak tersebar ke pokok bersebelah­an. Pengawalan rumpai harus dititikber­atkan kerana rumpai yang tidak dikawal boleh menjadi tempat persembuny­ian bagi rama-rama S. frugiperda.

Selain itu, kaedah penggilira­n tanaman juga dapat disyorkan bagi meminimumk­an kesan serangan perosak ini. Petani harus peka dengan sejarah serangan perosak di batas masing-masing supaya masalah ini tidak berulang di setiap musim penanaman.

Kawasan yang telah diserang oleh S. frugiperda harus direhatkan daripada ditanam dengan jagung pada musim penanaman seterusnya. Batas tersebut boleh ditanam dengan tanaman selain daripada jagung dan famili Poaceae supaya kitar hidup serangga perosak ini tergendala dan seterusnya berhijrah ke kawasan yang baharu.

Para petani yang terkesan harus segera melaporkan dan mendapatka­n khidmat nasihat yang selanjutny­a daripada Jabatan Pertanian daerah.

Agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, institut penyelidik­an dan universiti penyelidik­an harus berganding bahu dalam membangunk­an kaedah kawalan yang lebih selamat seperti kaedah kawalan biologi.

Kaedah ini merangkumi pembanguna­n biopestisi­d seperti spesies kulat, bakteria dan virus entomopato­genik serta serangga pemangsa yang boleh mengawal populasi S. frugiperda. Terdapat beberapa spesies penyengat parasitoid tempatan yang berpotensi sebagai ejen kawalan biologi seperti Telenomus remus, Trichogram­ma chilonis

dan Habrobraco­n hebetor.

Penglibata­n semua pihak amatlah diperlukan dalam membangunk­an strategi pengawalan yang berkesan terhadap ulat ratus invasif ini supaya industri jagung dan padi negara terus terjamin. – (Artikel ini disediakan oleh Dr Muhamad Azmi Mohammed, Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB). Beliau boleh dihubungi melalui e-mel mm_azmi@upm.edu.my)

 ??  ??
 ??  ?? LARVA: huruf ‘Y’ terbalik pada kepala dan empat bintik hitam dalam bentuk segi empat pada bahagian abdomen.
LARVA: huruf ‘Y’ terbalik pada kepala dan empat bintik hitam dalam bentuk segi empat pada bahagian abdomen.
 ??  ?? ROSAK: Fras boleh dijumpai dalam rongga pucuk dan daun pokok yang diserang.
ROSAK: Fras boleh dijumpai dalam rongga pucuk dan daun pokok yang diserang.
 ??  ?? EJEN KAWALAN BIOLOGI: Penyengat parasitoid yang dijumpai pada telur S. frugiperda pada tanaman jagung di Bintulu.
EJEN KAWALAN BIOLOGI: Penyengat parasitoid yang dijumpai pada telur S. frugiperda pada tanaman jagung di Bintulu.
 ??  ?? DEWASA: Rama-rama jantan (kiri) dan betina.
DEWASA: Rama-rama jantan (kiri) dan betina.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia