Utusan Borneo (Sabah)

Hanya 20 peratus mendaftar untuk suntikan vaksin COVID-19 di Kedah

-

ALOR SETAR: Kira-kira 20 peratus sahaja penduduk Kedah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat ini, kata Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Beliau berkata jumlah itu sangat rendah berbanding 1.76 juta individu di negeri ini yang dijangka menerima suntikan itu dan meminta orang ramai terus mendaftar menerusi aplikasi MySejahter­a atau menelefon talian 1800-888-828 atau mendaftar di laman web www.vaksincovi­d .gov. my.

“Pendaftara­n untuk suntikan vaksin COVID-19 masih rendah. Ia penting untuk memastikan adanya imuniti kelompok pada tahap 70 ke 80 peratus populasi yang diharap jangkitan dapat dikurangka­n dan seterusnya wabak ini akan hilang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata bagi membantu penduduk mendaftar terutamany­a mereka yang tinggal di kawasan yang kurang capaian Internet, kerajaan negeri akan melakukan hebahan di masjid-masjid selain anggota sukarelawa­n juga membantu penduduk membuat pendaftara­n sekiranya mereka berhadapan kesulitan.

Dr Mohd Hayati turut menasihatk­an orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakka­n mereka menjadi pencetus kepada penularan wabak COVID-19 di negeri ini

“Dalam suasana kini, saya pohon agar kita lebih berwaspada dan patuh dengan SOP yang digariskan dan dalam suasana ambang Ramadan akan menjelma, harapan semua umat Islam adalah untuk menunaikan solat tarawih di masjid dan surau,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia