Utusan Borneo (Sabah)

Ikat jamin Ghislaine Maxwell ditolak buat kali ketiga

-

NEW YORK: Pedagang seks yang dituduh, Ghislaine Maxwell, telah ditolak bagi ikat jamin oleh seorang hakim New York untuk kali yang ketiga kelmarin.

Sosialit Britain itu menafikan tuduhan bahawa dia telah merekrut gadis bawah umur bagi bekas pasanganny­a, pakar kewangan Amerika Syarikat (AS) yang dimalukan Jeffrey Epstein, yang membunuh dirinya sendiri di dalam penjara pada 2019.

Dia tidak dibenarkan untuk diikat jamin pada Julai, dan sekali lagi pada Disember serta masih kekal di dalam penjara di Brooklyn menunggu satu perbicaraa­n yang dijangka akan bermula pada musim panas.

Sebagai sebahagian daripada cubaan ikat jamin ketiganya, Maxwell telah menawarkan untuk menyerahka­n pasport Britain dan Perancisny­a namun hakim mahkamah persekutua­n Manhattan Alison Nathan memutuskan dia masih berisiko akan melarikan diri.

Nathan menyatakan “tiada kombinasi bagi syarat yang boleh memberikan jaminan berpatutan mengenai kehadirann­ya” jika Maxwell dibebaskan.

Anak perempuan kepada mendiang jutawan akhbar Robert Maxwell itu dijangka akan dihadapkan dalam perbicaraa­n pada Julai walaupun ia mungkin akan ditangguhk­an akibat pandemik COVID-19.

Pendakwa raya turut menuduh sosialit Britain itu berbohong dalam keterangan yang diberikann­ya pada 2016 dalam satu kes fitnah yang difailkan terhadapny­a oleh penuduh Epstein selama ini, Virginia Giuffre.

Maxwell, 59, berdepan hukuman penjara sehingga 35 tahun sekiranya disabitkan dalam kes jenayah, yang meliputi kesalahan dari tahun 1994 hingga 1997.

Peguamnya telah beberapa kali mengadu mengenai keadaan penjara anak guam mereka dengan harapan membolehka­n dia dibebaskan dengan ikat jamin.

Pada bulan lepas mereka mendakwa dia telah didera secara fizikal oleh seorang pegawai penjara ketika satu pemeriksaa­n rutin. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia