Utusan Borneo (Sabah)

Dana Yayasan: bekas pengerusi MCPF KL, penceramah didakwa pecah amanah, bersubahat

-

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur (MCPF KL) dan seorang penceramah pencegahan jenayah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitka­n dana yayasan itu berjumlah RM195,000.

Bagaimanap­un, Bok Siew Mun, 48, dan Saiful Hamiruzzam­an Mohd Hazir, 51, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Hasbullah Adam dan Datin Sabariah Othman.

Di hadapan Hasbullah, Bok sebagai pengerusi MCPF KL, yang diamanahka­n dengan penguasaan ke atas harta iaitu dana yayasan itu, didakwa melakukan pecah amanah dana yayasan dengan mengarahka­n bayaran secara cek berjumlah RM195,000.00 kepada Syarikat Trio Green Hornet Sdn Bhd di Maybank Berhad, Cawangan Bandar Sri Permaisuri di sini pada 26 Feb hingga 31 Mei 2019.

Pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di hadapan Sabariah, Saiful Hamiruzzam­an didakwa bersubahat dengan Bok untuk melakukan pecah amanah berkaitan dana yayasan sama dengan mengemukak­an invois milik Syarikat Trio Green dan menandatan­gani baucer bayaran yayasan itu pada tempat dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarka­n Bok dan Saiful Hamiruzzam­an, masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan 30 April ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalik­an oleh Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharin manakala peguam Datuk Vignesh Kumar mewakili kedua-dua tertuduh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia