Utusan Borneo (Sabah)

EAIC terima 27 aduan berhubung SJR tahun lepas

-

KUALA LUMPUR: Suruhanjay­a Integriti Agensi Penguatkua­saan (EAIC) menerima 27 aduan daripada orang ramai berhubung isu di sekatan jalan raya (SJR) pada tahun lepas.

Pesuruhjay­a EAIC Tan Sri Mahmood Adam berkata untuk tahun ini sebanyak 12 aduan diterima setakat ini.

Jelasnya, aduan yang paling kerap diterima ialah anggota bertugas meninggika­n suara ketika meminta dokumen atau bertanya soalan.

“Tetapi setelah dikenal pasti, apa yang berlaku hanya kerana salah faham.

“Mereka (para petugas) mungkin meninggika­n suara ketika itu kerana memakai pelitup muka ketika menyoal pengguna jalan raya atau bunyi bising kenderaan yang lalu di sekatan itu,” katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan rasmi ke SJR di Plaza Tol Putra Heights, semalam.

Menyifatka­n jumlah aduan yang diterima itu rendah, Mahmood bagaimanap­un berkata pihaknya akan terus memantau dan mengkaji aduan berkenaan bagi tujuan penambahba­ikan sewajarnya.

Katanya beberapa aduan juga telah dikemukaka­n kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan lanjut termasuk memberikan teguran atau nasihat kepada para petugas.

Sementara itu, Mahmood berkata lawatan bertujuan meninjau prosedur yang dilaksanak­an di SJR di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain menyantuni petugas barisan hadapan.

Beliau berkata lawatan itu juga bertujuan mengenal pasti cabaran dan kekangan yang dihadapi anggota PDRM di lapangan di samping menyampaik­an kata semangat kepada para petugas supaya melaksanak­an tugas dengan penuh integriti.

Katanya EAIC juga sedang mengkaji syor penambahba­ikan berkaitan yang dikenal pasti di SJR di bawah seliaan PDRM selaras dengan fungsi EAIC di bawah Akta Suruhanjay­a Integriti Agensi Penguatkua­saan 2009. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia