Utusan Borneo (Sabah)

Polis rampas 79 mesin lombong bitcoin, tahan dua lelaki

-

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas 79 unit mesin melombong bitcoin yang dipercayai dicuri, dalam operasi di Karangan, Sungai Kob dekat Kulim, Ahad.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata kedua-dua suspek yang juga adik-beradik berusia 21 dan 27 tahun berkenaan menaiki sebuah lori membawa mesin tersebut, dipercayai dalam perjalanan menghantar mesin berkenaan ke Sungai Petani.

“Anggota polis daripada

Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim yang melakukan rondaan di kawasan tersebut telah terserempa­k dengan sebuah lori yang dalam keadaaan mencurigak­an pada 5 petang Ahad.

“Selepas menahan kenderaan itu, pemeriksaa­n polis menemukan 79 unit mesin melombong bitcoin dan kedua-dua suspek gagal memberi keterangan mengenai semua mesin itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek mendakwa menerima arahan daripada seorang individu untuk mengambil barangan itu dari sebuah premis di Sungai Kob bagi dihantar ke satu lokasi di Sungai Petani.

“Bagaimanap­un, kedua-dua suspek gagal mengemukak­an maklumat berkaitan pemilikan mesin bitcoin tersebut atau sebarang dokumen berkaitan dan polis mengesyaki mesin itu yang bernilai RM3,000 seunit telah dicuri dan ingin dijual,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam pada itu, Azhar menggesa mereka yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti melombong bitcoin menyalurka­n maklumat kepada polis atau Tenaga Nasional Berhad berikutan penggunaan mesin tersebut biasanya membabitka­n pencurian elektrik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia