Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan Sarawak diharap naik taraf status Sebuyau menjadi daerah penuh

-

KUCHING: Kerajaan Sarawak diharap dapat meluluskan permohonan menaik taraf status Sebuyau daripada daerah kecil kepada daerah penuh dalam masa terdekat.

Menteri Muda Pembanguna­n Pelabuhan dan Infrastruk­tur Datuk Julaihi Narawi berkata, ia penting bagi memacu lebih banyak pembanguna­n di kawasan itu seperti daerah-daerah lain di Sarawak.

“Ini adalah harapan penduduk di Sebuyau. Justeru, kita harap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan bersetuju dan meluluskan permohonan untuk menaik taraf daerah kecil Sebuyau kepada daerah penuh dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar yang disempurna­kan Abang Johari di Pangkalan Feri Sebuyau-Triso di Sebuyau di sini, semalam.

Dalam pada itu, Julaihi mengucapka­n terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana membina projek Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua melalui kawasan Sebuyau.

Menurutnya, ini kerana pembinaan tersebut dijangka dapat memberi kesan besar terutama dari segi pembanguna­n sosioekono­mi di daerah Sebuyau dan warga Sebuyau secara keseluruha­n.

“Daerah kecil Sebuyau ketika ini mempunyai jumlah penduduk sekitar 20,000 orang. Pekan Sebuyau dan pekan Sebangan yang merupakan pekan pesisir dalam daerah kecil ini akan mendapat limpahan nikmat pembanguna­n pada masa akan datang,” katanya.

Julaihi berkata Jambatan Batang Lupar adalah jambatan paling strategik yang terletak di jalan pesisir yang bakal digunakan seluruh rakyat negeri ini.

Malah katanya, ia juga akan menjadi jambatan paling panjang merentasi sungai di Sarawak dan di Malaysia amnya.

“Adalah tepat bagi saya untuk mengatakan bahawa Jambatan Batang Lupar akan menjadi raja jambatan di Sarawak dan juga di Malaysia.

“Terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ketua Menteri kita yang telah mendengar rintihan dan keperluan rakyat luar bandar khususnya di kawasan pesisir,” katanya.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, majlis pecah tanah untuk Jambatan Batang Lupar adalah salah satu siri acara pecah tanah bagi projek jambatan dan jalan pesisir Sarawak yang disempurna­kan Ketua Menteri sejak 6 April 2019.

Majlis ini katanya, adalah yang kelapan, bukan berulang-ulang seperti yang didakwa oleh beberapa pihak yang tidak dapat menerima hakikat kerajaan GPS Sarawak dapat membina jambatan dan jalan pesisir seperti yang dirancang dan dibina dengan menggunaka­n bajet kerajaan negeri.

“Sekiranya projek ini tidak dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), saya percaya bahawa hari ini pembinaan mungkin telah mencapai 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pembatalan projek besar oleh kerajaan PH pada masa lalu harus menjadi pengajaran agar rakyat Sarawak tidak terpengaru­h dengan janji-janji manis pihak-pihak tertentu untuk memperoleh suara ketika pilihan raya tiba.

“Kesungguha­n dan kemampuan kerajaan GPS wajar diambil sebagai panduan bila tibanya pilihan raya nanti.

“Pembinaan jambatan dan jalan di sepanjang laluan pesisir yang mana terdapat banyak kampung dan rumah panjang serta pembinaan Jalan Utama Kedua harus dilihat sebagai bukti kesungguha­n kerajaan GPS Sarawak dalam memastikan kawasan luar bandar juga akan menikmati pembanguna­n serupa,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim serta tetamu kehormat lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia