Utusan Borneo (Sabah)

Jurutera rugi RM29,700 terperdaya iklan jualan kereta di Facebook

-

MELAKA: Akibat terperdaya dengan iklan jualan kereta import dari negara jiran menerusi laman sosial Facebook, seorang jurutera kerugian sebanyak RM29,700.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E Sundra Rajan berkata pada 9 Mac lepas, mangsa lelaki berumur 38 tahun itu tertarik selepas melihat tawaran penjualan kereta dari Singapura dan telah berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa yang juga tinggal di Paya Rumput itu menyatakan minat untuk membeli kenderaan jenis Toyata Alphard dengan harga RM60,000 dan telah diarahkan suspek membuat bayaran seperti deposit 10 peratus, insurans dan cukai jalan.

“Pada hari sama sehingga 17 Mac lepas, mangsa telah membuat bayaran secara berperingk­at berjumlah RM29,700 ke dalam lima akaun bank yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sundra Rajan berkata selepas bayaran dibuat, suspek masih lagi meminta wang daripada mangsa tetapi jurutera berkenaan tidak lagi mengikut arahan tersebut kerana mengesyaki telah ditipu dan sehingga kini masih belum menerima kenderaan seperti yang dijanjikan.

Katanya mangsa kemudianny­a membuat laporan pada 19 Mac di Balai Polis Tanjung Minyak dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Hasil semakan polis melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/ semakmule ke atas salah satu nombor akaun yang digunakan, suspek didapati terlibat dengan tiga laporan polis menggunaka­n modus operandi sama.

“Orang ramai juga dinasihatk­an supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran penjualan kenderaan secara atas talian dan menyemak nombor telefon atau akaun bank meragukan pada laman sesawang berkenaan,” katanya.

Katanya sejak awal Januari hingga 22 Mac lepas sebanyak 16 kes membabitka­n kerugian RM147,649 dilaporkan melibatkan penipuan jualan kenderaan secara dalam talian, manakala pada 2020, sebanyak 32 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM236,604. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia