Utusan Borneo (Sabah)

Golongan berisiko tidak digalak saksikan perlawanan di stadium

-

PUTRAJAYA: Golongan warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan menonton perlawanan bola sepak apabila kebenaran kehadiran penonton ke stadium bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) berkuat kuasa 1 April ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ketika ini Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang memperhalu­si mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kebenaran kehadiran penonton ke stadium.

Menurut beliau, pihaknya tidak pernah menghalang kumpulan berisiko dijangkiti COVID-19 menonton perlawanan di stadium, malah tiada undang-undang melarang warga emas dan kanak-kanak berbuat demikian.

“Ada macam-macam yang akan diperhalus­i antaranya penjualan tiket yang mesti dilakukan secara dalam talian, dari segi perniagaan trak makanan juga masih ada SOP perlu dipatuhi termasuk juga soal kehadiran kanakkanak.

“Kanak-kanak tidak digalakkan pergi walaupun tiada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk pergi, sama seperti untuk golongan 60 tahun ke atas. Ini kumpulan dianggap yang mudah (dijangkiti) dan terdedah,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Jawatankua­sa ‘Panel of Experts’ KBS baru-baru ini.

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras menjadi dua venue terawal yang bakal menerima semula kehadiran penonton masing-masing pada 2 dan 3 April apabila saingan Liga-M kembali bersambung selepas jendela perlawanan antarabang­sa Persekutua­n Bola Sepak Antarabang­sa (FIFA) hujung bulan ini.

Kedua-dua stadium itu yang merupakan gelanggang tuan rumah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC dipilih menjadi projek perintis menilai keberkesan­an protokol pengurusan penonton.

Reezal Merican berharap penyokong dapat mematuhi SOP ditetapkan dan menjaga tingkah laku semasa berada di stadium supaya protokol pengurusan penonton dapat dibuktikan keberkesan­annya kepada Majlis Keselamata­n Negara (MKN) dan Kementeria­n Kesihatan (KKM).

“POC (bukti konsep) ini amat penting. Jika saya seorang bercakap untuk menyakinka­n kerajaan tidak cukup, saya minta juga sokongan daripada kalangan peminat sukan dalam usaha KBS menyemarak­kan kembali kerancakan penonton ke stadium.

“Kalau mereka (penonton) gagal menunjukka­n testimoni yang menyakinka­n, barangkali ia tidak akan menjadi realiti untuk perlawanan berikutnya,” jelas beliau.

Terdahulu, Reezal Merican menyerahka­n surat pelantikan kepada 25 individu yang menganggot­ai Jawatankua­sa ‘Panel of Experts’ dengan mantan Ketua Pengarah Perkhidmat­an Awam Tan Sri Borhan Dolah dilantik sebagai pengerusi jawatankua­sa itu.

Beliau berkata pelantikan itu sebagai satu lagi kolaborasi strategik KBS dalam mendapatka­n idea dan pandangan segar berhubung pembanguna­n belia dan sukan negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia