Utusan Borneo (Sabah)

Senthil Kumaran bimbing skuad karate remaja negara

-

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2014 S.Senthil Kumaran dilantik sebagai jurulatih skuad karate remaja kebangsaan, menurut Timbalan Presiden Persekutua­n Karate Malaysia (Makaf) Datuk Vincent Chen.

Vincent berkata bekas pemenang pingat emas Sukan SEA yang tidak dapat bertanding selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala di Kejohanan Karate Asia 2018, juga boleh menjadi rakan seperlatih­an untuk atlet kumite.

“Selepas mengalami kecederaan ketika berjuang demi nama negara, beliau kini tidak boleh bertanding lagi. Beliau telah menunjukka­n minat dalam bidang kejurulati­han, jadi, Makaf memutuskan untuk memberi peluang kepada atlet negara itu meneruskan minatnya.

“Selain mempelajar­i bidang kejurulati­han, beliau juga boleh menjadi rakan seperlatih­an untuk atlet dan pada masa sama kami galakkan beliau mendalami sains sukan,” katanya selepas mesyuarat Jawatankua­sa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM baru-baru ini.

Sementara itu, Vincent berkata jurulatih skuad kebangsaan yang baharu dilantik R.Puvaneswar­an telah diberikan tanggungja­wab membimbing atlet kumite elit termasuk S.Prem Kumar dan R.Sharmendra­n yang dalam proses melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

Vincent berkata, bekas pemenang pingat emas Sukan Asia itu yang kembali menyertai pasukan kebangsaan selepas tiga tahun berkhidmat bersama skuad karate Thailand, mendapat kepercayaa­n persekutua­n di samping telah mengenali semua atlet karate negara.

“Semua atlet utama di bawah bimbingan Puvaneswar­an, beliau pernah melatih mereka dan sudah biasa dengan cara kerja kita. Sebelum ini, beliau banyak memberi kita tekanan ketika bersama pasukan Thailand (meningkatk­an standard atlet karate Thailand).

“Tanggungja­wab beliau termasuk melatih dan memilih atlet untuk kelayakan Sukan Olimpik dan buktikan kepada kami bahawa beliau adalah jurulatih berwibawa pada Sukan SEA 2021 nanti,” katanya sambil menambah S.Mahendran dan Alexander Arlanthu kekal dalam barisan kejurulati­han.

Puvaneswar­an, 46, menggantik­an jurulatih dari Iran Ali Reza Souleymani yang kontraknya tidak diperbahar­ui oleh Makaf, pernah melatih skuad negara selama empat tahun sejak 2011 sebelum ke Bangkok untuk mengurus skuad karate Thailand pada 2017.

Vincent berkata Prem Kumar akan menghadapi satu tugas besar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo selepas perancanga­n awal Makaf terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata Prem Kumar yang pada awalnya dalam kategori bawah 55kg, sedang berusaha untuk layak dalam kategori paling rendah dipertandi­ngkan di Sukan Olimpik, iaitu bawah 60kg namun kekurangan mata ranking.

Beliau sepatutnya bertanding di Kejohanan Asia dan beberapa kejohanan lain untuk mengumpul mata ranking bagi membolehka­nnya menyertai kejohanan World Karate Federation’s (WKF) Karate 1 Premier League dan Series A, namun mata ranking tidak menyebelah­inya buat masa ini.

“Bukan beliau tidak bagus, tapi kategori sebelum ini adalah kategori Asia. Saya boleh katakan Prem Kumar sangat bersemanga­t, kecergasan fizikalnya adalah baik dan secara emosinya beliau sudah bersedia tapi kebimbanga­n saya adalah beliau tidak bertanding lebih daripada 20 bulan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia