Utusan Borneo (Sabah)

Seri si harimau kumbang bunting, penantian hampir sedekad Zoo Melaka berakhir

-

MELAKA: Penantian hampir sedekad warga Zoo Melaka untuk mendapat ahli keluarga baharu dalam kumpulan harimau kumbang di bawah jagaan mereka kini menghampir­i penghujung­nya apabila seekor daripada haiwan itu bunting.

Ketua Unit Zoologi Zoo Melaka Azman Ghazali yang menyampaik­an berita gembira itu ketika dihubungi Bernama, berkata Seri yang berusia dalam lingkungan lapan tahun, sedang bunting dalam anggaran tiga bulan.

“Kita jangka Seri akan melahirkan anak sekitar April ini. Jadi segala persiapan telah diatur termasuk doktor dan penjaga yang akan mengawasin­ya setiap masa.

“Kami juga telah pindahkan Seri ke ruang belakang agar gangguan dapat dikurangka­n serta memberi keselesaan kepadanya,” katanya, menambah kali terakhir zoo itu menerima kelahiran harimau kumbang ialah sembilan tahun lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata suasana sepi dan tenang tanpa kunjungan pelawat berikutan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah memberi ruang kepada Seri serta haiwan lain berinterak­si secara semula jadi termasuk mengawan.

Azman berkata, perubahan ketara perlakuan haiwan dalam suasana tenang dan senyap itu dapat dilihat sejak hujung tahun lepas apabila empat daripada enam ekor harimau kumbang jantan di zoo tersebut aktif memikat harimau kumbang betina untuk mengawan.

Sejak itu katanya, doktor veterinar dan penjaga haiwan tersebut membuat pemerhatia­n dan penantian mereka membuahkan hasil apabila Seri didapati bunting.

Menurutnya, Seri yang berpasanga­n dengan Kiki yang seusia dengannya, berada dalam keadaan sihat dan tenang tetapi lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Selain Seri, Zoo Melaka juga menunggu kelahiran anak kepada Ros, seekor zirafah yang berumur 15 tahun serta seekor beruang matahari yang dijangkaka­n berlaku dalam masa terdekat.

“Kedua-duanya juga telah diasingkan dan semua petugas sentiasa peka dengan keadaan haiwanhaiw­an yang bunting ini kerana kami bimbang sekiranya berlaku apa-apa komplikasi. Bagaimanap­un setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia