Utusan Borneo (Sabah)

Insiden komponen kren terjatuh: Mayat ketiga dibawa keluar

-

KUALA LUMPUR: Mayat ketiga dalam insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampira­n Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras Isnin lepas, akhirnya berjaya dikeluarka­n awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mu Tong Zheng, pekerja warga China yang sebelum ini dilaporkan terjatuh dan tersangkut di atas landasan lebuh raya sebelum tersepit di antara landasan pembinaan lebuh raya, dikeluarka­n tiga anggota pada jam 3.58 pagi.

Katanya, mangsa sebelum ini tidak dapat dikeluarka­n memandangk­an pihaknya berhadapan kesukaran disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantri.

“Pihak kami telah naik ke atas (struktur binaan tersebut) kira-kira 3 pagi untuk membuat penilaian risiko sebelum tiga anggota yang lengkap berpakaian sut perlindung­an diri (PPE) naik dan membawa turun mayat lelaki berkenaan menggunaka­n bantuan kren.

“Operasi mengeluark­an mangsa mengambil masa setengah jam dan keadaan mayat sedang mereput,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.

Nordin berkata, dengan mangsa terakhir berjaya dikeluarka­n, operasi menyelamat selama tiga hari bermula Isnin lepas telah selesai dan kes diserahkan kepada Jabatan Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pada Isnin, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu tempatan cedera parah berikutan kejadian satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia