Utusan Borneo (Sabah)

Bale nekad kembali semula ke Real Madrid Beliau mahu kembali sebaik tempoh pinjaman di Tottenham berakhir musim panas ini

-

LONDON: Gareth Bale berkata beliau mahu kembali ke Real Madrid sebaik sahaja tempoh pinjaman di Tottenham Hotspur berakhir pada musim panas ini.

Kapten antarabang­sa Wales itu menyertai semula Spurs untuk kontrak pinjaman satu musim pada bulan September tahun lepas dalam usaha untuk bermain dengan lebih kerap, selepas berpindah ke Real Madrid dengan yuran rekod dunia ketika itu berjumlah 85 juta pound pada 2013.

“Masa depan saya tidak mengganggu penampilan saya dalam Euro,” kata Bale pada satu sidang media menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di Belgium.

“Saya fikir sebab utama saya datang ke Spurs musim ini ialah untuk bermain dalam kesebelasa­n utama dan apa yang paling penting ialah bermain di Euro, saya mahu cergas perlawanan.

“Pelan asal ialah untuk mengharung­i satu musim di Spurs dan selepas Euro, saya masih ada baki satu tahun lagi di Real Madrid. Rancangan saya ialah untuk kembali ke sana dan sejujurnya, ia adalah apa yang saya rancangkan setakat ini.”

Bale hanya bermain 14 perlawanan pada musim 2019/2020 bersama Real Madrid dan tidak sehaluan dengan jurulatih Zinedine Zidane, penyokong kelab dan media, menyebabka­n beliau kembali ke Spurs untuk kontrak pinjaman.

Perjanjian pinjaman di antara kedua-dua kelab tidak termasuk pilihan atau kewajipan untuk Spurs membeli Bale pada musim panas.

Bale, 31, bergelut dengan prestasi dan tahap kecergasan sekembalin­ya ke Spurs tetapi akhir-akhir ini menunjukka­n bayangan prestasi cemerlang beliau yang membawa kepada cadangan bahawa Tottenham mungkin akan melanjutka­n kontrak pinjaman selepas musim panas ini.

Beliau sudah menjaringk­an 10 gol dari 25 penampilan bersama Spurs musim ini dan kontrak semasa beliau di Real berakhir pada Jun 2022.

Spurs berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris tetapi penyingkir­an mengejut dari Liga Europa di Croatia minggu lepas mengalihka­n spekulasi kepada masa depan Mourinho.

Bale menambah bahawa bermain bersama Wales adalah masa yang tepat untuknya.

“Saya sentiasa fikir bahawa apabila semuanya tidak menjadi di kelab, ia menarik untuk mengalih perhatian pada perkara lain, terutama sekali persekitar­an kelab,” kata beliau.

“Sememangny­a ia memberi kelebihan. Perkara pertama yang kami lakukan sekarang ialah memberi fokus kepada perlawanan untuk Wales, yang sangat penting untuk kami, dan melupakan kehidupan di kelab.”

Wales memulakan bidaan untuk melayakkan tempat ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958 apabila menentang Belgium dan kemudian menentang Mexico pada perlawanan persahabat­an di Cardiff pada Sabtu sebelum satu lagi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Republik Czech pada Selasa minggu hadapan.

— AFP

Saya fikir sebab utama saya datang ke Spurs musim ini ialah untuk bermain dalam kesebelasa­n utama dan apa yang paling penting ialah bermain di Euro, saya mahu cergas perlawanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia