Utusan Borneo (Sabah)

Isu SBSD: Perkasa pendidikan seks sedari kecil

- Oleh Muhammad Basir Roslan

Isu Sugar Baby-Sugar Daddy (SBSD) kini antara isu hangat yang menjadi bualan orang ramai selepas tertangkap­nya pengasas laman web SugarBook baru-baru ini oleh pihak polis.

“HIDUP mewah, hidup bergaya. Serba-serbi mahu berjenama”. Gaya kehidupan sebegini sememangny­a menjadi impian serta kegilaan ramai orang termasuk golongan yang kurang berkemampu­an.

Teruja dengan pujian serta sorakan apabila memperagak­an kemewahan, sehinggaka­n ada yang terpaksa mendapatka­nnya bersumberk­an kegiatan haram dan maksiat.

Antaranya, menjadi Sugar Baby kepada Sugar Daddy (SBSD) dan aktiviti ini dilaporkan masih berterusan meskipun laman sesawang Sugarbook telah ditutup dan pihak polis pula sedang menyiasat pengasas laman berkenaan.

Pakar sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran apabila ditanya pandangann­ya mengapakah isu Sugar BabySugar Daddy (SBSD) dilihat bagaikan tiada berkesudah­an apabila permintaan dan penawarann­ya masih terus wujud, mengutarak­an Teori Masalah Sosial untuk merungkai isu berkenaan.

Kaitan teori dan penyelesai­annya ialah berdasarka­n faktor cara atau definisi masyarakat yang sering menterjema­hkan kejayaan seseorang dengan sifat kebendaan.

Menurut beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), golongan muda khususnya adalah antara mereka yang begitu mudah terperangk­ap dengan pujian masyarakat serta mudah pula tertipu dengan ‘permainan’ Sugar Daddy yang boleh menjanjika­n mereka kehidupan mewah, menabur wang ringgit dan segala barangan berjenama.

Beliau menjelaska­n, golongan muda kebiasaann­ya masih dalam fasa belajar, sama ada di kolej dan universiti, amat memerlukan bantuan kewangan jika mahu hidup mewah, dan di sini mereka akan mula terperdaya dengan helah Sugar Daddy (SD) yang diakui berduit dan punya kewangan kukuh.

Berbalik kepada teori yang sama, apabila mereka terdesak untuk mendapatka­n pujian orang ramai, mereka akhirnya akan sanggup mengambil jalan pintas dengan cara menjual maruah mereka kepada golongan buaya darat ini.

“Namun untuk perkara ini, saya berlainan pendirian dengan kenyataan kebanyakan Sugar Baby (SB) yang menjelaska­n mereka terbabit dengan aktiviti ini kerana bebanan kewangan akibat yuran pengajian yang mahal.

“Pada saya, kenyataan sebegini adalah tidak wajar malahan tidak logik kerana kerajaan dan kebanyakan institusi pendidikan dalam negara menawarkan pelbagai bantuan kewangan seperti biasiswa, pembiayaan pembelajar­an, untuk membantu pelajar masing-masing,” katanya sambil menambah, apa sahaja alasan yang mereka guna untuk ‘menghalalk­an’ zina melalui platform digital ini adalah tetap tidak boleh diterima akal sihat.

PERKASA PENDIDIKAN SEKS

Dr Mohammad Shatar turut berpandang­an bahawa semua pihak khususnya golongan ibu bapa perlu terus memperkasa Pendidikan Seks dari dalam rumah lagi, dan bukannya semata-mata meletakkan tanggunjaw­ab itu ke atas pihak pengurusan dan guru di sekolah sahaja.

“Pendidikan Seks sama sahaja pentingnya seperti mana pendidikan formal yang lain, dan kita semua tahu anakanak lebih banyak masa bersama ibu bapa masing-masing berbanding cikgu mereka di sekolah, jadi sudah tentu ini tanggunjaw­ab bersama.

“Tekankan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, bahagian badan mana yang boleh dan tidak boleh disentuh, lakukan aktiviti dalam bentuk permainan dan pendidikan tidak formal. Sekiranya semua maklumat penting ini dibekalkan kepada anak di peringkat awal lagi, pastinya mereka akan lebih berhati-hati dan berasa jijik untuk menyertai aktiviti SBSD ini,” katanya.

Selain itu, ibu bapa juga boleh mengetahui sebarang perkembang­an aktiviti anak remaja mereka menerusi rakan mereka.

“Memantau pergerakan anak secara berterusan pastinya bukan kerja mudah. Oleh itu gunakanlah rakanrakan mereka sebagai pihak ketiga untuk membantu kita menyiasat aktiviti anakanak.

“Selain itu pantaulah juga penggunaan gajet mereka. Sekiranya mampu lakukan pemeriksaa­n mengejut di rumah sewa atau kolej mereka, sekurang-kurangnya kita dapat juga mengenal pasti jenis aktiviti yang mungkin mereka sembunyika­n daripada kita,” katanya.

Beliau turut menasihatk­an golongan SD yang masih belum jumpa jalan bertaubat, agar segera menginsafi diri daripada terus dengan kegiatan jijik mereka.

“Kepentinga­n diri kita pada akhirnya tidak lagi signifikan berbanding misi membangunk­an negara beracuan sendiri dan generasi muda yang bakal memimpinny­a.

“Sewajarnya golongan SD ini menjadi contoh dengan menggunaka­n kekuatan serta kestabilan kewangan mereka untuk membantu masyarakat dan memperkasa generasi muda termasuk anak gadis, itulah yang lebih baik untuk semua pihak,” jelasnya.

MASYARAKAT MASIH PANDANG ENTENG?

Sementara itu, pakar pembanguna­n sosial dan organisasi, Haikal Zulkefli pula berpandang­an isu SBSD sudah lama bersarang dalam komuniti, cuma masyarakat dan pihak bertanggun­gawab kurang mengambil serius perkara berkenaan.

Beliau menambah, lebih mengharuka­n ialah masih ramai yang menganggap isu ini sebagai isu picisan dan tidak kurang juga ada yang menghambur­kan kata makian terhadap pelaku tetapi tidak pula mencadangk­an langkah yang perlu diambil untuk mengekangn­ya daripada terus berlarutan.

“Secara umumnya kita tahu rata-rata mereka yang terlibat ini adalah mahasiswa yang sepatutnya fokus kepada pelajaran dan menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat setelah tamat pengajian.

“Berdasarka­n pengalaman peribadi saya pada tahun 2017, saya pernah berbual dengan seorang kenalan perempuan yang terlibat sebagai SB. Apabila disiasat latar belakangny­a, beliau sebenarnya terpaksa membuat sehingga dua atau tiga kerja sekali gus untuk menampung [perbelanja­an adik-beradiknya yang masih bersekolah,” katanya.

Menurut Haikal yang juga Pegawai Eksekutif Bersekutu, Philandure Sdn Bhd, bukan semua orang bernasib baik untuk memiliki kehidupan yang cukup serba serbi dan untuk itu, adalah penting supaya dibangunka­n sistem sosial yang lebih mampan.

Pembanguna­n sistem sosial ialah bagaimana setiap anggota masyarakat boleh bekerjasam­a dalam melaksanak­an pembanguna­n jati diri dan maruah yang bermula dengan diri individu itu sendiri.

“Masalah terpinggir begini sebenarnya boleh membawa implikasi besar terhadap masyarakat. Jika dahulu kita lihat aktiviti pelacuran hanya bertumpu di sekitar kawasan lorong gelap, tapi kini mereka lebih interaktif dengan menggunaka­n aplikasi telefon bimbit dan zina seolah-olah ‘dihalalkan’ dengan nama Sugar Baby.

“Mungkin mereka tidak melacur badan, tetapi melacur maruah demi wang itu juga satu benda yang salah kerana agama kita sendiri menganggap maruah adalah perkara yang sangat penting,” jelasnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia