Utusan Borneo (Sabah)

Peristiwa hitam ketika Ops Daulat tidak patah semangat Hasnal terus berbakti

-

MELAKA: Peristiwa hitam ketika bertugas dalam insiden serangan hendap penceroboh dari selatan Filipina di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac 2013 masih segar dalam ingatan DSP Mohamad Hasnal Jamil.

Biarpun lapan tahun telah berlalu, malah parut akibat kecederaan parah terkena tiga tembakan dan enam tetakan daripada musuh kekal berbekas hingga kini, ia tidak pernah mematahkan semangat juang pegawai berusia 39 tahun itu untuk terus berbakti kepada tanah air.

“Sebagai anggota pasukan keselamata­n yang telah berjanji taat setia, tanggungja­wab menjaga keselamata­n dan kedaulatan negara adalah satu keutamaan yang perlu dipertahan­kan walaupun nyawa jadi taruhan.

“Saya lebih memikirkan negara lebih daripada segalanya kerana polis juga merupakan benteng negara. Kita hanya ada satu sahaja negara dan siapa lagi yang akan pertahanka­n kalau bukan kita sendiri,” katanya ketika ditemui pada sambutan peringatan Hari Polis ke-214 Kontinjen Melaka di Ayer Keroh, di sini semalam.

Beliau merupakan penerima tunggal sumbangan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) di negeri ini yang disampaika­n oleh Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid

Mohd Ali.

Beliau yang bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman ketika itu telah dihantar bagi membuat tinjauan dan melawan musuh di perkampung­an air tersebut selepas perancanga­n awal penceroboh yang berusaha untuk menawan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berjaya dihidu.

Mengimbas kembali berdepan detik mencemaska­n ketika menyertai Ops Daulat di pantai timur Sabah itu, Mohamad Hasnal berkata pada kejadian kira-kira 7.30 malam, berlaku pertempura­n dan berbalas tembakan yang dimulai pihak musuh tanpa henti selama 15 minit.

“Dalam keadaan saya dan ketua Allahyarha­m Supt Ibrahim Lebar yang telah cedera parah, saya ada bertanya kepada arwah mengenai situasi semakin meruncing dan katanya kepada saya, kita lawan.

“Jadi, kami lawan dan saya lihat satu per satu rakan seperjuang­an gugur, termasuk Allahyarha­m tuan Ibrahim yang cedera ditembak di tepi saya. Saya cuba membantuny­a apabila melihatnya masih hidup dan beliau sendiri tetap cuba gagahkan diri berusaha melawan musuh sebelum akhirnya tertewas,” katanya.

Malah, Mohamad Hasnal sendiri yang ketika itu turut cedera parah akibat ditetak pada kepala dan kedua-dua lengan sebelum ditembak di kedua-dua belah tangan dan perut sehingga menembusi belakang badan tetap berjuang habis-habisan melawan musuh.

Katanya, ia satu misi mempertaha­nkan negara walaupun terpaksa bergadai nyawa dalam insiden penceroboh­an tersebut yang telah mengorbank­an enam anggota polis.

“Mereka (penceroboh) dakwa, mereka mahu ambil hak mereka semula tetapi Sabah adalah sebahagian daripada negara kita. Jadi, saya dan pasukan tekad menghalang penceroboh­an itu yang merupakan pencabulan kepada kedaulatan negara.

“Saya berserah ketika itu tetapi syukur alhamdulil­lah masih diberi peluang menikmati kehidupan hingga kini,” katanya yang menerima tiga bulan rawatan akibatan kecederaan tersebut. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TERIMALAH: Abdul Majid (kanan) menyampaik­an sumbangan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada DSP Mohamad Hasnal Jamil sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-214 Kontinjen Melaka di Ayer Keroh, di Melaka semalam. Mohamad Hasnal antara pegawai yang terselamat ketika insiden serangan hendap penceroboh dari selatan Filipina di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac 2013 dalam Ops Daulat.
— Gambar Bernama TERIMALAH: Abdul Majid (kanan) menyampaik­an sumbangan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada DSP Mohamad Hasnal Jamil sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-214 Kontinjen Melaka di Ayer Keroh, di Melaka semalam. Mohamad Hasnal antara pegawai yang terselamat ketika insiden serangan hendap penceroboh dari selatan Filipina di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac 2013 dalam Ops Daulat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia