Utusan Borneo (Sabah)

34 tahanan Palauh diserah kepada JIM

- Oleh Norwahida Yamaluddin

LAHAD DATU: Sembilan wanita dari komuniti Palauh yang ditahan dalam operasi khas COVID-19 minggu lalu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, semalam.

Turut diserahkan, 10 kanak-kanak lelaki dan 15 perempuan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, tindakan itu dibuat setelah kertas siasatan kes itu dirujuk ke kamar Peguam Negara dan mengarahka­n kesemua tangkapan bersama anak-anak atau tanggungan diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, terdahulu Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu telah dibenarkan menahan reman 9 wanita Palauh selama 12 hari iaitu tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan lima hari mengikut Seksyen Imigresen 1959/63.

Katanya, tempoh reman digunakan untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 32 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (Sabah CAP 80), Kaedah 41 LN 166/59, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No.3) 2021 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Proses penyerahan melibatkan 9 wanita Palauh, 10 kanak-kanak lelaki dan 15 perempuan yang merupakan anak-anak atau tanggungan itu berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dikeluarka­n Majlis Keselamata­n Negara,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rohan berkata dalam perkembang­an siasatan kes itu, seorang lelaki Palauh, 31, ditahan setelah tampil mendakwa penjaga kepada seorang kanak-kanak lelaki dan dua perempuan yang ditahan.

“Lelaki itu ditahan kerana positif dadah dan didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Lahad Datu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selam tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” katanya.

 ??  ?? ROHAN
ROHAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia